Khamis, 21 Ogos 2014

Bukit Aman digesa siasat dalang bakar rumah Anis Afida

MUHAMMAD FAIZAL






KUALA LUMPUR: PAS menggesa agar satu Jawatankuasa Khas (Task Force) ditubuhkan di peringkat Bukit Aman bagi menyiasat perbuatan khianat terhadap Pengerusi Gabungan NGO Pengerang, Cik Anis Afida Mohd Azli yang menyebabkan kebakaran di rumah kediamannya.

Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asal, Mazlan Aliman memberitahu laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat membuktikan ia adalah berpunca daripada perbuatan yang disengajakan.

"Kita gesa pihak polis agar melakukan siasatan segera terhadap beberapa siri kejadian yang berlaku, ia jelas dibukti adalah perbuatan khianat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Kebakaran yang menimpa rumah Cik Anis Afida adalah kes terbaru dari kes-kes sebelum ini dan secara terang menunjukkan bahawa berpunca dari 'molotov cocktail' yang sememangnya sengaja dibakar," jelasnya pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sejurus menyerahkan memorandum sebentar tadi.
Kediaman Anis Afida yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Johor, di Bandar Penawar, Kota Tinggi Johor terbakar pada tengah malam 8 Julai lalu beberapa minggu sebelum menjelang Aidilfitri.

Beliau juga merupakan calon PAS bagi kerusi N38 Dun Penawar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Menurut Mazlan, PAS menggesa agar siasatan dilakukan terhadap seluruhan kes-kes yang menimpa Anis termasuk ancaman batu nisan dan juga kenderaan yang disimbah dengan cat.

"Kita melihat kes ini adalah berprofil tinggi dan memohon agar tindakan yang lebih profesional tanpa tolak ansur diambil kepada mereka yang terlibat dalam kerja-kerja khianat dan provokasi.

"Syabas kepada Jabatan Bomba atas siasatan mereka, saya yakin ia memudahkan jabatan polis utk mengheret mereka yang bertanggunghjawab," sambung beliau lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yang turut hadir pada penyerahan memorandum itu berharap pihak polis memandang serius kejadian ini kerana ia membabitkan ancaman nyawa kepada mangsa.

"Perlu disegerakan siasatan kerana ia melibatkan ancaman nyawa kepada mangsa, kejadian kebakaran itu disengajakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kita akui pegawai-pegawai polis sibuk bagi menyambut jenazah MH17 esok, tetapi kita mengharapkan akan ada pertemuan selepas selesai MH17," katanya yang telah menyerahkan memorandum kepada Ketua Unit Radio/TV, ASP Mohd Fadzil Ismail.

Dalam pada itu, Anis Afida turut mengucapkan terima kasih kepada pimpinan PAS yang mengambil serius insiden tersebut serta meminta pihak polis mengheret pihak tidak bertanggungjawab ke muka pengadilan.- HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: