SETAKAT petang semalam, Abdul Hadi Awang belum buat apa-apa kenyataan berhubung pertemuannya dengan Anwar Ibrahim di Kuala Terengganu petang Isnin lalu.

Bagi sesetengah orang, pertemuan itu sudah cukup untuk jadi petanda ketegasan Hadi dan Pas dalam menghadapi kemelut politik Selangor. Anwar terpaksa terbang ke Kuala Terengganu untuk bertemu Hadi. Ini bukan sesuatu yang biasa kerana selama enam tahun usia kerjasama mereka, Anwar jarang sekali meraikan (baca: menghormati) pemimpin Pas sedemikian rupa, tidak seperti kepada pemimpin DAP.

Ini cukup bermakna bagi pendokong Pas yang wala' mereka tidak berbelah bahagi kepada parti dan presiden. Kalaupun Anwar sedia merendah diri kepada pemimpin Pas selama ini, hanya kepada Tok Guru Nik Aziz.

Bukan sekali dua Hadi terpaksa tunduk kepada Anwar, juga DAP hingga menimbulkan keresahan sesetengah ahli Pas sendiri. Namun tidak ramai yang berani bersuara secara terbuka kerana bimbang wala' mereka dicurigai.

Tidak lama dahulu, ketika berlaku perbalahan terbuka Ketua Dewan Ulama, Harun Taib (Allahyarham) dengan Karpal Singh berhubung perjuangan mendaulatkan negara Islam, Hadi selepas mesyuarat Majlis Presiden PR esoknya, kelihatan begitu terpaksa untuk menyatakan bahawa apa yang disebut oleh Harun kepada media sekadar pandangan peribadi, bukan pendirian parti.

Semua orang dalam Pas tahu hubungan akrab Hadi dengan Harun bukan setahun dua, sudah puluhan tahun, seperti isi dengan kuku. Namun atas nama tahaluf siyasi dan kepentingan politik pakatan, hal yang sukar itu terpaksa ditelan.

Kini, Pas dan Hadi sangat penting bagi Anwar. Sebab itu dia sanggup terbang ke Terengganu untuk menghadap Presiden Pas itu walaupun diberi masa tidak sampai sejam. Ketegasan Hadi cukup bermakna untuk mengangkat maruah Pas di mata Anwar dan pemimpin DAP.

Pas sudah banyak berkorban untuk pakatan selama ini. Tidak keterlaluan jika dikatakan, dalam Pas sendiri pun sudah terbahagi. Ada pemimpin Pas yang jasadnya sahaja bersama parti tetapi fikrah dan wala'nya kepada Anwar.

Seorang rakan wartawan yang pernah ke luar negara bersama seorang pemimpin Pas, memberitahu saya, sepanjang berada di sana selama beberapa hari, tidak sekali pun pemimpin Pas itu menyebut nama Hadi. Sebaliknya hanya nama Anwar yang meniti bibirnya.

"Sikit-sikit dia kata, Datuk Seri (Anwar) cukup suka saya buat benda ni, dia minta saya buat di negeri pakatan yang lain!'. Demikianlah.

Biadab

Dan kita pun sedia tahu, minggu lalu, muncul 'Tiga Abdul' dalam Pas yang menempelak Hadi selepas dia membuat kenyataan mempertahankan Khalid sebagai MB Selangor. Kata mereka, "itu pandangan peribadi Presiden. Parti hanya akan bermesyuarat pada 10 Ogos."

Bagi orang biasa, kenyataan itu mungkin fakta biasa yang tiada sensitiviti apa-apa. Namun dalam konteks politik, apa lagi memahami tradisi Pas yang cukup menghormati institusi kepresidenan, apa yang berlaku itu sangat luar biasa.

Saya imbas apa yang pernah berlaku dalam satu muktamar Pas di Taman Melewar pada penghujung 1980-an. Seorang perwakilan Pas Kedah, Abdul Wahab Abdul Rahman pernah dikecam hebat dalam Harakah, hanya kerana dia mengangkat tangan ketika berbahas. Abdul Wahab @ Cikgu Wahab, seorang guru.

Justeru sudah jadi kebiasaan baginya untuk bercakap sambil mengangkat tangan. Namun dalam Pas, meskipun tiada termaktub dalam mana-mana buku peraturan, angkat tangan ketika bercakap dianggap pantang. Bagi mereka yang mengecam Cikgu Wahab, gelagatnya itu dianggap biadab kerana mereka yang jadi sasaran tundingan tangannya itu bukan orang biasa.

"Pemimpin kita bukan macam pemimpin parti lain, tok-tok guru, ulama belaka..." Begitulah kritikan terhadap seorang guru dan pejuang Pas pada masa itu yang jadi mangsa kebiasaannya sendiri.

Dan kita boleh lihat juga, sejak bermula era kepimpinan ulama dalam Pas pada pertengahan 1980-an, hanya beberapa tahun kebelakangan ini perebutan jawatan jadi meriah. Walaupun jawatan presiden setakat ini belum ada yang berani cabar, namun tembok jawatan No 2 sudahpun diceroboh. Dahulu, penyandang kedua-dua jawatan itu semestinya menang tanpa bertanding.

Peralihan hanya akan dibuat apabila berlaku pengunduran sukarela seperti daripada Haji Yusuf Rawa kepada Fadzil Noor ataupun kematian. Demikianlah hormat dan patuhnya orang Pas pada masa itu.

Hospital

Ya, benar... Islam membenarkan pemimpin dikritik atau ditegur. Saya tidak lupa pun pada Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar yang minta ditegur ketika menerima tampuk pemerintahan masing-masing. Tetapi Islam mengajar teguran mesti beradab, apa lagi kepada pemimpin, tambahan pula kepada ulama.

Pemimpin bagi jemaah Islam seperti Pas adalah seumpama imam. Bagaimana Islam mengajar kita menegur imam dalam solat? Ada adabnya, dengan berkata "Subhanallah". Dan jika sudah hilang keyakinan kepada imam, dibolehkan mufaraqah iaitu berpisah solat berjemaah dengan imam.

Tetapi mesti ikut adabnya, mengubah niat secara senyap-senyap. Tidak boleh buat kenyataan media, memperlekehkan imam di hadapan orang ramai. Itu bukan tatacara yang baik, apa lagi menegur imam dalam harakah Islamiyyah seperti Pas.

Tambahan pula Hadi yang ditempelak, baharu sahaja keluar hospital. Ini boleh mengundang persepsi yang tidak baik. Harus diingat bahawa setiap kenyataan orang politik adalah berkaitan dengan persepsi.

Saya tidaklah sampai mahu mengatakan bahawa ini diajar oleh Anwar tetapi apabila hati separuh kepada orang lain, isteri di rumah nampak tidak secantik dahulu lagi. Ya, dalam isu MB Selangor, Pas sudah terbahagi dua.

Ada yang pro Khalid, yakni mengekalkan wala' kepada keputusan Majlis Syura, ada juga yang berpendapat, terus bersama dengan pakatan dengan meninggalkan Khalid adalah lebih baik.
Sekarang semua orang tertunggu-tunggu pendirian Pas yang akan dimuktamadkan dalam mesyuarat 17 Ogos.

Ramai yang beranggapan mesyuarat itu juga akan menentukan kelangsungan Pas dalam politik, akan lebih dihormati jika membuat keputusan untuk bersama Khalid menggerakkan kerajaan negeri sekali gus meninggalkan pakatan.

Ini akan meninggalkan luka yang sangat dalam bagi PKR dan DAP, sebaliknya Pas akan lebih dihormati. Namun jika Pas sekali lagi buat pusingan U, parti itu tidak lagi akan dipercayai, sampai bila-bila. Saya yakin, Hadi sedang beristikharah dan akan membuat keputusan yang paling baik untuk ummah.