Ahad, 3 Ogos 2014

BN perlu penyerang untuk tangkis serangan pembangkang

 
BN Sarawak memerlukan sokongan warga kota bagi memantapkan lagi usaha pembangunan dan perjuangan politik di negeri ini.
openg2


KUCHING: Sarawak sudah mempunyai ‘kapten’ (Ketua Menteri Adenan Satem). Justeru itu, beliau memerlukan ‘penyerang’ untuk memantapkan lagi barisan pasukan dalam BN untuk menangkis serangan parti pembangkang, menurut Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abang Johari Tun Abang Openg.

Sebagai rakan dalam kabinet Sarawak, beliau meminta seluruh rakyat memberikan sokongan padu kepada Adenan agar Sarawak lebih maju dalam Malaysia.

“Dengan kestabilan politik dan ekonomi serta sokongan semua kaum, Sarawak dibawah pimpinan Adenan mampu lebih maju ke hadapan,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sini, semalam.

“Sarawak kaya dengan sumber asli yang boleh dikongsi bersama dengan semua kaum, asalkan kita semua bersatu.”

Untuk majukan taraf kehidupan rakyat Johari berkata, fokus pembangunan di negeri kini giat dilaksanakan di kawasan tengah Sarawak, luar bandar dan pinggir bandar.

Beliau berkata, nikmat pembangunan terutama di kawasan bandar berjaya mentransformasikan kehidupan warga kota.

“Kita mahu taraf kehidupan masyarakat yang tinggal di kawasan pinggir dan luar bandar seiring dengan apa yang dinikmati oleh rakyat di bandar,” jelasnya.

Untuk tujuan itu, Barisan Nasional Sarawak memerlukan sokongan warga kota bagi memantapkan lagi usaha pembangunan dan perjuangan politik di negeri ini, kata Johari.

“Ketua Menteri juga sering berpesan agar kaum Cina perlu berpendirian tegas dalam menyatakan sokongan kepada BN.”

Tiada ulasan: