Isnin, 4 Ogos 2014

Batal konsert Mariah Carey, hormati MH17

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) amat kesal dengan penganjuran konsert Mariah Carey yang akan berlangsung di Stadium Merdeka pada 22 Oktober depan dan mendesak konsert itu dibatalkan di saat negara sedang bersedih di atas tragedi MH17.

Presidennya, Abdul Malik Ab Razak (gambar) berkata, kedatangan penyanyi asal Amerika Syarikat itu ke negara ini bagi meneruskan siri jelajah ke Asia dan melancarkan album terbarunya tidak sesuai dengan budaya masyarakat tempatan.

"GAMIS sebagai sebuah gerakan mahasiswa Islam memandang serius penganjuran konsert liar yang saban tahun diadakan.

"Di saat rakyat dalam kesedihan berikutan kes pesawat MH17 ditembak jatuh dan serangan Israel ke atas Gaza masih belum tamat, GAMIS sangat kesal dengan pihak penganjur yang tidak menghormati keadaan masyarakat dengan beraninya membawa masuk artis seksi itu ke negara ini," ujar Abdul Malik.

Tambah beliau, ketika umat Islam di Gaza dibunuh oleh Israel dengan bantuan Amerika Syarikat adalah sesuatu yang memalukan bagi negara membenarkan konsert liar seorang artis asal Amerika Syarikat.

"Kerajaan seharusnya mengambil tindakan tegas, bersesuaian dengan cadangan Perdana Menteri yang mengumumkan hari berkabung untuk MH17 agar membatalkan segala program hiburan liar dari diteruskan.

"Kerajaan boleh mengambil langkah alternatif dengan mendidik rakyat melalui elemen pembangunan modal insan yang positif. Program-program kerohanian dan pembangunan minda dirancakkan sebagai tanda keinsafan atas musibah yang melanda negara," tegas beliau.

Menurut Abdul Malik, selain faktor teknikal kerajaan harus sedar bahawa musibah yang menimpa adalah ujian Allah supaya kerajaan dan rakyat kembali menghidupkan nilai-nilai Islam dan membanteras budaya tidak sihat dalam kalangan masyarakat.

"Kami turut berpendirian bahawa konsert yang menelan kos sebanyak USD1 juta (RM3.2 juta) adalah satu pembaziran yang tiada nilai pelaburan untuk pembangunan sebuah tamadun.

"Justeru itu, GAMIS dengan penuh harapan memohon semua pihak dari kerajaan, parti politik, NGO-NGO dan mahasiswa untuk menginsafi musibah yang melanda dengan bekerjasama membanteras program-program hiburan liar," ujar beliau. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: