Isnin, 4 Ogos 2014

Azmin, ADUN Ijok bukan calon alternatif MB S'gor

MALAYSIAKINI



 
 
 
PKR menafikan ada nama lain selain presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail diletakkan sebagai calon menteri besar Selangor.
 
Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail menolak khabar angin dan laporan berita yang mengatakan ADUN Ijok Datuk Idris Ahmad atau Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, termasuk alternatif lain menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.
 
"Malam tadi di mesyuarat biro politik Azmin Ali turut hadir dan bersetuju keputusan parti bahawa Datuk Seri Wan Azizah satu-satunya nama yang dicalonkan
 
"Kita menegaskan mengekalkan keputusan yang telah dibuat dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP)," kata beliau dalam sidang media hari ini.
 
Semalam berapa media memetik laporan sumber bahawa PKR mencadangkan nama alternatif berikutan ketidakpuasan beberapa pihak dalam partinya atau rakan sekutunya terhadap cadangan nama Wan Azizah.
 
"Dalam konsensus mesyuarat pimpinan dalam pakatan sebelum ini PAS dan DAP bersetuju hak menamakan menteri besar itu hak PKR," kata beliau.

Akui kurangkan sokongan
 
Sementara itu Saifuddin mengakui betapa kemelut pentadbiran Selangor ini sedikit sebanyak mengurangkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat di Selangor.
 
Bagaimanapun beliau yakin Wan Azizah mampu menarik kembali sokongan rakyat terhadap mereka agar Selangor terus dipertahankan dari jatuh ke tangan Umno pada pilihan raya akan datang.
 
"Sementara kita mengakui kemelut ini beri kesan kita juga yakin dapat kembali sokongan rakyat.
 
"Hanya sebab ini tak bererti rakyat secara automatik mengalihkan sokongan kepada Umno," kata beliau.
 
Beliau memberi maklum balas berikutan pendapat penganalisis politik bahawa Pakatan bakal kehilangan Selangor sekiranya kemelut ini berlarutan.
 
Justeru Saifuddin meminta Khalid untuk menerima keputusan yang dibuat parti dan mengundurkan diri secara baik.
 
"Kita menghormati semua pandangan penganalisis politik. Oleh itu sebagai respon terhadap maklum balas yang diterima kita perlu cepat laksanakan penyelesaian sebab itu kita minta Khalid hormati apa yang diputuskan parti.
 
"Kita doa pagi petang siang malam agar hal ini selesai dengan cepat," kata beliau.

Tiada ulasan: