Isnin, 18 Ogos 2014

Aziz Bari: Pulangkan yang 'dicuri', Khalid

MALAYSIAKINI



 
 
 
Pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari menegaskan, berdasarkan perkembangan terbaru kemelut politik Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mempunyai pilihan selain daripada meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Ini kerana, menurut Aziz, keputusan Khalid untuk menghadap sultan Selangor adalah tidak wajar.

Aziz berkata, sokongan majoriti yang diperoleh oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar pada Khamis lalu telah membolehkan ADUN Kajang itu menjadi pengganti menteri besar.

"Khalid akan berjumpa dengan sultan dan nak tunggu nasihat sultan. Tak ada apa boleh buat dah. Dia dah macam pencuri. Kau sekarang nak (kena) pulangkan balik benda yang kau curi daripada tuan dia.

"Tak ada pilihan. Pilihan dari segi perundangan ialah dengan meletakkan jawatan serta-merta," katanya dalam sebuah forum di Kuala Lumpur malam tadi.

Turut menjadi ahli panel Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad, Khalid Samad dan Ketua Pemuda Suhaizan Kaiat.

Khalid semalam menerima dengan hati terbuka keputusan PAS mencalonkan dua nama sebagai penggantinya sebagai menteri besar Selangor dan akan memohon menghadap sultan Selangor ekoran perkembangan terbaru itu.

Kata Khalid, sehingga sultan belum membuat keputusan muktamad, beliau akan meneruskan pentadbiran kerajaan negeri Selangor bersama empat exco daripada PAS dan akan meneruskan pentadbiran bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan krisis politik tersebut.

Bercakap dalam forum yang dihadiri kira-kira 100 orang, Aziz turut mengkritik tindakan PAS yang kekal meletakkan empat exconya bawah pentadbiran Khalid.

Exco PAS masuk k'jaan 'haram'?

Jelasnya, kerajaan yang ditadbir Khalid kini merupakan sebuah kerajaan haram memandangkan ADUN Pelabuhan Klang itu tidak mempunyai majoriti yang cukup.

"Kenyataan (Datuk Seri Abdul) Hadi (Awang) yang mengatakan PAS kekal bersama kabinet itu mengarut. Karut. Sebab apa? Sebab kerajaan ini sudah haram. Nak duduk buat apa. Nak tolong rakyat? Nak tolong ikut cara undang-undang. Bukan cara haram.

"Jadi, orang PAS ini kalau nak main bola masuk padang bola bukan padang ragbi.

"Yang empat (exco) yang bersama tu dah jadi pembangkang. Bukan kerajaan. Apa empat orang buat ini pelik. Sepatutnya Sallehan (Mukhyi) dan Iskandar (Samad) kena ada temujanji baru, bukan dengan Khalid dah," katanya.

Selepas Aziz memberikan 'hujahnya' tentang tindakan PAS, Khalid Samad yang juga Ahli Parlimen Shah Alam bangun membalas hujah bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu dengan menegaskan bahawa isu Selangor tidak boleh diselesaikan dengan cara perundangan sahaja.

Katanya, sebagai orang politik, pendekatan yang diambil PAS bagi menyelesaikan kemelut menteri besar itu bertujuan bagi meneruskan 'permainan' yang sedang berlangsung.

"Ini beza orang perundangan dengan orang politik. Dia ingat dah selesai. Eh, selesai apa? Saya beri analogi main bola. Ada pemain yang buat faul tapi pengadil tak bunyikan wisel.

"Ini menyalahi undang-undang tetapi permainan tetap di teruskan. Orang politik akan terus bermain. Orang perundangan akan kata 'saya saman awak di mahkamah,", kata Khalid Samad sambil ketawa dan mendapat tepukan hadirin.
 

Tiada ulasan: