Khamis, 28 Ogos 2014

Apakah PKR dan DAP Derhaka Kepada Sultan?

shahbudindotcom


Tindakan PKR dan DAP mengumumkan secara bersama keputusan parti itu yang bertegas hanya mencalonkan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai bakal Menteri Besar Selangor secara umumnya menimbulkan dua tanggapan umum. Pertama, mengenai PKR dan DAP yang dianggap biadap serta derhaka kepada titah Sultan Selangor yang mahukan lebih dua nama dan yang kedua, ia menunjukkan Pas sudah mula ditinggalkan dalam gabungan PR dan apakah nasib parti itu seterusnya?

Mengenai persoalan pertama, apakah benar PKR dan DAP biadap dan derhaka?

Walaupun PKR dan DAP mewajarkan tindakan mereka mencalonkan hanya nama Dr Wan Azizah dengan mengepilkan salinan surat daripada istana mengenai proses perlantikan Khalid Ibrahim pada 2013 di mana ketika itu Sultan meminta dikemukakan empat nama tetapi tetap setuju dengan pemilihan Khalid walaupun hanya satu nama yang dipersembahkan.

Maka, berdasarkan konvensi itu serta hakikat bahawa Dr Wan Azizah sudah mempunyai sokongan majorit 30 Adun, maka PKR dan DAP mengekalkan hanya nama Presiden PKR itu saja, meskipun Sultan Selangor menitahkan agar setiap prti mengemukakan dua nama bagi pertimgangan baginda.

Dari segi politik adu-domba, tentu saja tindakan PKR dan DAP itu boleh ditafsirkan sebagai biadap dan derhaka kepada Sultan tetapi berdasarkan undang-undang dan perlembagaan, Sultan juga tertakluk untuk mempersetujui mana-mana nama yang dipersembahkan oleh kumpulan yang memperolehi sokongan majoriti.

Baik dalam pemilihan Perdana Menteri atau Menteri Besar di negeri-negeri lain pun, biasanya hanya satu nama saja yang dikemukakan. Tidak pernah dua nama sekaligus dibawa untuk pertimbangan Sultan atau Raja sebelum ini untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar.

Memang ada kes seperti di Perlis, Raja tidak bersetuju dengan Shahidan terus dipilih sebagai Menteri Besar dan di Terengganu pula, Sultan tidak setuju dengan Idrus Jusoh sebelum ini. Tetapi nama baru iaitu, Isa Sabu di Perlis dan Ahmad Said di Terengganu, hanya dikemukakan setelah sah adanya penolakan daripada istana. Shahidan dan Idris tersingkir hanyalah kerana UMNO pula tidak berani bertegas mempertahankan pendirian asalnya.

Bagaimanapun, UMNO pernah juga bertegas dalam dalam hal ini. Di Negeri Sembilan misalnya, Isa Samad pernah ditolak oleh Yang Dipertuan Negeri sebagai Menteri Besar tetapi ketika itu Tun Ghafar Baba segera menemui istana dan mempertahankan pencalonan Isa sambil mengingatkan bahawa dalam sistem Raja Berperlembagaan, nama yang dikemukakan oleh UMNO dan BN yang sudah memiliki majoriti tidak boleh ditolak sama-sekali.

Akhirnya Isa Samad berjaya menjadi Menteri Besar selama lebih 22 tahun di Negeri Sembilan.

Soal sama ada tindakan PKR dan DAP ini biadap atau derhaka kepada Sultan atau tidak, ia sebenarnya hanyalah persepsi saja. Teti mencalonkan hanya satu nama bukanlah asing dan diluar amalan sebelum ini. Oleh kerana nama Dr Wan Azizah sudah dikemukakan oleh pihak yang mempunyai sokongan majoriti, terserahlah kepada Sultan sama ada mahu menerima atau menolaknya.

Jika Sultan menolaknya, mereka boleh memilih untuk mencalonkan nama lain atau bertindak tegas sepertimana yang pernah dilakukan oleh Tun Ghafar itu.

Dalam masa yang sama, Sultan juga secara konvensinya tidak boleh menerima nama lain yang bukan dicadangkan oleh pihak yang mempunyai majoriti kerana boleh ditafsirkan bertentangan dengan prinsip Raja Berperlembagaan yang diamalkan selama ini iaitu calon Menteri Besar mestilah dipilih melalui nama yang dikemukakan oleh pihak yang mempunyai majoriti.

Kiranya Sultan memilih Adun Pas pula sebagai Menteri Besar tetapi tidak mendapat persetujuan PKR dan DAP yang mempunyai majoriti, ia mungkin pula berhadapan dengan usul undi tidak percaya dalam DUN yang selewat-lewatnya akan diadakan November ini. Jika itu berlaku, pertukaran Menteri Besar terpaksa dilakukan sekali lagi.

Mengenai persoalan kedua pula, PKR dan DAP nampaknya sengaja meninggalkan Pas dalam membuat ketetapan mengenai isu ini untuk melihat apakah pendirian parti itu seterusnya. Jika Pas turut mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai pilihan pertama bersama nama lain sebagai pilihan kedua, ia bermakna Pas juga telah bersetuju dengan pemilihan Presiden PKR itu sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

Kiranya itu pencalonan yang akan dibuat oleh Pas, ia secara langsung memudahkan Sultan membuat pilihan kerana secara logiknya ketiga-tiga parti mahukan Dr Wan Azizah.

Tetapi jika Pas membuat ketetapan lain daripada itu, bukan saja Pas berisiko diketepikan dalam susunan Exco kerajaan negeri, bahkan juga mungkin ditendang daripada PR jika akhirnya Sultan akur dengan calon pilihan PKR dan DAP yang jelas memiliki sokongan majoriti itu.

Pas memang nampak tersepit dalam keadaan ini. Menolak mencalonkan Dr Wan Azizah amat mengundang bahaya kepada masa depan parti itu iaitu mungkin dikeluarkan daripada PR dan akan kehilangan banyak kerusi dalam pilihanraya akan datang. Husam Musa sudah mengingatkan sebelum ini bahawa tindakan yang boleh menyebabkan Pas terkeluar daripada gabungan bersama PKR dan DAP akan menyebabkan perjalanan parti itu berundur selama 30 tahun ke belakang.

Jika Pas akur pula mencalonkan Dr Wan Azizah, meskipun ianya memudahkan lagi penyelelesaian kemelut ini sedangkan sebelum ini berdolak-dalik dengan terakhir menyerahkan kepada kebijaksanaan Sultan, maka sekali lagilah Pas membuat U turn.

Sesuai dengan amalan demokrasi dan prinsip Raja Berperlembagaan, penyelesaian terbaik ialah dengan menghormati pilihan majoriti atau serahkan kembali mandat kepada rakyat membuat penentuan. Amatlah tidak kena ketika penyerahan mandat semula kepada rakyat tidak mahu dilakukan, suara majoriti juga tidak mahu dihormati.

Tiada ulasan: