Ahad, 31 Ogos 2014

Apa sewajarnya berlaku di dalam krisis MB Selangor ini

Oleh Aziz Bari


Saya yakin krisis Menteri Besar Selangor yang berlanjutan sehingga ke hari ini tidak akan berlaku sekiranya pihak-pihak yang terbabit – termasuk pihak Istana, ahli politik dan media – menurut langkah, iaitu undang-undang yang termaktub di dalam peruntukan serta semangat Perlembagaan.
Kita perlu ingat bahawa peruntukan ini menggunapakai konvensyen perlembagaan Westminter kerajaan British. Kerana itulah Suruhanjaya Reid memberitahu kita agar melihat kepada amalan berkurun lama di negara itu di dalam laporannya, yang dilampirkan bersama-sama deraf akhir Perlembagaan Persekutuan pada 1957.

Mari kita mulakan dengan meninjau undang-undang bagi perkara ini. Tetapi sebelum itu, kita perlu sedar bahawa Perlembagaan tidak wajar difahami secara harfiah (literal); ia perlu dibaca di dalam kerangka di mana demokrasi dan kedaulatan undang-undang diamalkan. Seperti juga terma berkenaan budi bicara Sultan melantik menteri besar – atau Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri di negeri-negeri tanpa Raja – tidak boleh dianggap kebebasan melakukan apa sahaja. Sebetulnya, Sultan hanya memiliki budi bicara sebenar jika sidang dewan undangan negeri (DUN) tidak pasti siapa calon bagi jawatan tersebut; sesuatu  yang digelar ‘parlimen tergantung’. Dalam keadaan itu, DYMM Sultan boleh memohon nama-nama atau bercakap dengan ahli dewan undangan negeri (ADUN) secara langsung. Dan jika baginda masih belum pasti, Sultan boleh membubarkan Sidang DUN bagi memberi laluan kepada pilihanraya; untuk memberi rakyat peluang memilih kerajaan yang stabil bagi membantu baginda.

Di zaman moden ini, parti-parti politik selalunya telah memilih calon yang mereka mahukan bagi menerajui kerajaan. Inilah antara sebab perlantikan bagi seorang Perdana Menteri tidak lagi menjadi satu isu; ia telah menjadi amalan kebiasaan dan ketua negara (atau Raja) hanya menerajui majlis rasmi bagi menghulurkan watikah perlantikan kepada pemimpin yang dipilih parti majoriti di Sidang DUN atau Parlimen. Dalam kata lain, ketua kerajaan hanya perlu menurunkan tandatangan di watikah perlantikan. Inilah intipati kerajaan berkabinet di bawah sistem Westminster di mana Perdana Menteri dan kabinet perlu menjawab kepada Parlimen dan bukannya pihak istana.

Inilah juga penjelasan undang-undang di sebalik peralihan kuasa daripada Tunku Abdul Rahman kepada Tun Abdul Razak Hussein selepas Tragedi 13 Mei. Perkara yang sama berlaku ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2003. Satu lagi majlis sepertinya berlaku apabila Datuk Seri Mohd Najib Razak menggantikan Abdullah pada 2009. Awal tahun ini, kita saksikan Tan Sri Taib Mahmud berundur diri, lantas memberi laluan kepada Tan Sri Adenan Satem menjadi Ketua Menteri Sarawak. Dalam situasi tersebut, ketua negeri sendiri sanggup memberi kedudukan dan jawatannya kepada Taib! Kejadian yang serupa terjadi beberapa bulan lalu di Terengganu apabila Sultan memberi watikah perlantikan kepada Menteri Besar baharu Datuk Ahmad Razif, tiga jam selepas Umno memutuskan Datuk Seri Ahmad Said perlu berundur daripada jawatan itu.

Apa yang terjadi di Selangor seharusnya sama: parti majoriti di Sidang DUN mahu menukar peneraju pentadbiran kerajaan negeri. Alasannya jelas: Menteri Besar yang ada, Tan Sri Khalid Ibrahim bertindak mengabaikan manifesto Pakatan Rakyat yang telah diberi kepada warga Selangor dan melakukan beberapa perkara mengikut kemahuannya sendiri.

Maka DYMM Sultan Selangor, sewajarnya berbincang dengan parti yang diwakili Khalid, PKR dan bukannya meminta MB itu terus menjalankan tugas pada 11 Ogos lalu. Tambahan pula, Khalid telah disingkir PKR dua hari sebelum itu. Tetapi DYMM Sultan Selangor melakukan sebaliknya: selepas meminta Khalid kekal menjalankan amanah mentadbir kerajaan, baginda menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadap. Kerana kedudukan Sultan di atas politik mengikut sistem Raja Berperlembagaan, tindakan tersebut agak tersasar. Pihak Istana harus dilihat berkecuali serta tidak menyebelahi mana-mana pihak di dalam hal ini.

Kemudian pada 25 Ogos, Anwar memberitahu partinya masih menunggu perkenan untuk mengadap DYMM Sultan Selangor. Ia mengejutkan kerana pada 14 Ogos, Dr Wan Azizah Wan Ismail telah menampilkan bukti melalui perakuan bersumpah bahawa 30 daripada 56 Ahli DUN menyokong beliau. Perakuan bersumpah itu menjadikan presiden PKR sebagai peneraju yang sah di dalam kerajaan Selangor. Perlu dijelaskan bahawa Perakuan Bersumpah tersebut telah (i) menggantikan budi bicara Sultan bagi melantik Menteri Besar, (ii) menjadikan kedudukan Khalid sebagai MB tidak sah dan (iii) mengenepikan sebarang langkah membubarkan Sidang DUN Selangor. Tindakan pembubaran DUN bertentangan dengan Perlembagaan dan juga amalan demokrasi.

Namun, kita wajar melihat apa yang terjadi di United Kingdom sendiri di dalam menilai amalan undang-undang di Malaysia. Pada 1990, Ratu Elizabeth II tidak berbuat apa-apa apabila Perdana Menteri Margaret Thatcher disingkir Parti Konservatifnya. Peralihan kuasa tidak berjalan lancar dan krisis itu menyebabkan pertembungan kuasa di dalam parti. Akhirnya John Major, seorang menteri di dalam kabinet Thatcher, diisytihar pemenang. Major mendapatkan watikah perlantikan daripada Istana Buckingham bagi menerajui kerajaan Konservatif yang baru.

Istana Selangor wajar membenarkan Dr Wan Azizah Wan Ismail melakukan perkara yang sama. Beliau telah menanti terlalu lama dan warga Selangor berhak melihat pentadbiran kerajaan negeri pulih seperti sediakala.

Tiada ulasan: