Rabu, 13 Ogos 2014

"Ajar bertawaduk..." pesan Ustaz Hassan Shukri

ZULKIFLI YAHAYA 


MASIH terngiang-ngiang kata-kata Almarhum Ustaz Hassan Shukri (gambar), bekas Naib Presiden PAS, sewaktu menemani beliau pergi merasmikan mesyuarat agung sebuah kawasan di Perak.

“Ahli PAS ni perlu ditekankan dengan ilmu tasawuf, persoalan sifat-sifat mazmumah dan mahmudah supaya masing-masing ada sifat tawaduk sikit,” katanya.

Ketika itu saya baru menyertai Harakah, penghujung tahun 1980-an. Berlaku sedikit ‘ribut dalam cawan’ dalam Jabatan Penerangan PAS yang dipimpin oleh Ustaz Nakhaie Ahmad yang menjawat Naib Yang Dipertua PAS ketika itu.

Ustaz Hassan membayangkan bahawa pergolakan dalaman itu lebih diburukkan oleh tiadanya sifat mahmudah dalam diri sebahagian individu terbabit. Mungkin masing-masing hanya memacu ego, tiada rasa tawaduk dan hilang sifat memaafkan. Dalam peristiwa ‘ribut’ itu Ustaz Nakhaie keluar daripada PAS dan akhirnya menyertai Umno.

Semua orang mengenali Ustaz Hassan sebagai seorang yang semahunya cuba terbabit dalam apa sahaja konflik dalaman parti. Walaupun ada yang menuduhnya cuba ‘play safe’, hakikatnya beliau adalah tokoh pendamai dalam parti.

ILMU TASAWUF

Apa yang dicetuskan Ustaz Hassan bahawa pentingnya tarbiyah PAS menekankan perihal menanam sifat-sifat mahmudah (terpuji) dalam diri serta menjauhkan sifat mazmuzah (tercela), merupakan kaedah pencegahan terbaik terhadap tercetusnya konflik dalaman parti.

Ilmu tasawuf ialah ilmu yang menyuluh perjalanan seseorang mukmin dalam membersihkan hati dengan sifat-sifat mahmudah serentak itu menjauhkan diri daripada sifat mazmumah. Ia juga bertujuan mendidik nafsu dan akal supaya sentiasa berada dalam landasan dan peraturan hukum syariat Islam yang sebenar.

Imam Al-Ghazali r.a. telah menggariskan 10 sifat mahmudah dalam kitab 'Arbain Fi Usuluddin' iaitu reda, mahabbah, sabar, ikhlas, taubat, takut, zuhud, syukur, tawakkal dan mengingati mati. Manakala 10 sifat tercela pula ialah marah, hasad, banyak bercakap, bangga diri, cinta kemegahan, cinta dunia, ujub, riyak, bakhil dan banyak makan.

Sewaktu Ustaz Hassan menekankan perlunya ahli PAS mendalami ilmu tasawuf, konflik dalaman PAS hanya sekelumit. Telefon bimbit pun belum muncul ketika itu. Ustaz Hassan sudah merasai kebimbangannya.

Hari ini cabaran dalam jemaah tentu lebih kompleks. Apa saja isu akan disemarakkan melalui media maya yang tiada batasan sempadan. Semua orang boleh bercakap apa sahaja, di mana sahaja tanpa perlu mengukur status dirinya siapa.

SIFAT TERCELA

Apabila membuka saja paparan media sosial maka segala sifat tercela juga terpapar di situ. Sifat angkuh, ego, sombong, marah, hasad semuanya terpancar dengan jelas. Langsung tiada sifat tawaduk.

Ahli-ahli biasa boleh menghentam pemimpin parti di semua peringkat tanpa batasan akhlak. Sindiran, kutukan dan penghinaan kadangkala di luar batas pemikiran yang rasional. Mereka dibelasah tanpa belas kasihan.

Berperang sesama sendiri usah dikira, bahasa yang terpancul semuanya 'menakutkan'.  Kelihatannya seolah-olah Islam yang kita terima hari ini tidak sempurna kerana tiada penekanan akhlak.

Jumlah anggota parti seperti itu mungkin masih di paras minoriti tetapi mereka sangat bermaharajalela di alam maya. Saya tidak merujuk kepada mana-mana ‘kumpulan’, sama sahaja pendukung daripada pandangan mana pun. Macam kata pepatah kita, ‘2x5’, ‘5x2’.

Jika penekanan tasawuf ada dalam diri masing-masing, rasanya perbezaan sikap dan pandangan tidaklah ditangani dengan begitu gelojoh dan buruk. Kalau ada sifat tawaduk, tahu menghormati manusia, tidak ego dengan pendirian sendiri maka suasana tidaklah seburuk itu.

Kalau masing-masing ada sifat mengingati mati sekurang-kurang setiap patah perkataan yang mahu dilontarkan akan difikirkan akibatnya pada alam selepas mati nanti.

LONDEH MELONDEH

Akibat memacu rasa marah dan dendam kesumat juga semua perkara hendak dilondehkan di alam maya. Biar semua orang tahu, sekalipun akibatnya akan menempelak parti sendiri. Pihak yang hilang sabar akan mendedahkan pula.
Maka berlakulah pertandingan dedah mendedah, sehingga masing-masing terbabit berdiri bogel di hadapan orang ramai yang sentiasa menyaksikannya.

Betul, zaman ini maklumat akan melanda tanpa batas sempadan, namun batas akhlak dan prinsip kerahsiaan dalam jamaah masih wajib dipatuhi kerana tiada nas yang memansuhkannya. Tidak semua perbincangan parti boleh dibuat secara terbuka atas nama ketelusan.

Zalim adalah meletakkan sesuatu pada tempat yang salah. Itu yang kita semua faham dari penjelasan para alim ulama. Asas sesuatu perbuatan itu boleh jadi harus tetapi apabila dilakukan pada tempat, situasi atau ketika yang salah maka ia jadi zalim.
Berbincang masalah dalaman parti sesama orang yang berkepentingan dan layak sahaja adalah kerja mulia. Maka berbincang isu dalaman parti secara terbuka di alam maya adalah perbuatan yang tidak mengikut peraturan. Ia zalim! Lebih-lebih lagi bila
nafsu marah dan ego menguasai diri.

Mana boleh isu dalaman boleh diikuti oleh semua orang termasuk musuh. Akibatnya jemaah akan lemah atau boleh dilemahkan, lalu akan berpecah.

Sedih sungguh meyaksikan situasi seperti ini mutakhir ini. Semuanya gara-gara asas penghayatan tasawuf dalam diri sudah tidak ditekankan. Elok kalau penekanan Almarhum Ustaz Hassan Shukri diberi perhatian semula. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: