Sabtu, 2 Ogos 2014

Air Selangor: Khalid perlu dedah butiran Perjanjian Dasar Induk

Oleh Wan Anis Ilyani W. M. Azhar

 
Post Pic



SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim digesa mendedahkan butiran Perjanjian Dasar Induk yang ditandatanganinya bersama Kerajaan Persekutuan semalam.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, Khalid harus kotakan janjinya untuk bertindak telus dalam pemerintahannya sementelah rakyat juga berhak untuk mengetahui isi kandungan perjanjian air itu.
 
"Siapa yang tahu perincian perjanjian itu? Beliau kena ada tanggungjawab, mesti ada ketelusan dalam apa yang dilakukan.
 
"Khalid tidak boleh syok sendiri. Beliau kena rujuk dengan Dewan Negeri ataupun exco terlebih dahulu sebelum buat keputusan.
 
"Penolakan ini memberikan satu gambaran bahawa rakyat hendak tahu apa yang dipersetujui itu, kerana ia bukan rahsia," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Terdahulu Khalid mengikat perjanjian induk mengenai penstrukturan air dengan Putrajaya yang menurut beliau, memberi jaminan kadar tarif air di Lembah Klang tidak akan dinaikkan untuk sehingga empat tahun akan datang.
 
Ini bukan kali pertama Khalid membelakangkan PKR dan beliau terus berani membuat keputusan bersendirian untuk isu-isu besar melibatkan kepentingan rakyat meskipun kedudukannya kini ibarat 'telur dihujung tanduk'.
 
Khalid kini menjadi mangsa percaturan politik PKR yang mahu menggulingkannya daripada kedudukan jawatan Menteri Besar Selangor. 
 
PKR sebelum ini menegaskan perjanjian antara kerajaan negeri Selangor dengan kerajaan Persekutuan yang ditandatangani Khalid itu bersifat berat sebelah dan memihak kepada Putrajaya.
 
Parti itu mendakwa perjanjian itu memberi kuasa luas kepada Putrajaya dalam pengurusan industri air Selangor.  
    
Perjanjian semalam sekaligus bermakna kerajaan negeri Selangor terikat kepada syarat-syarat yang termaktub di dalamnya sekali pun Khalid gugur daripada jawatannya itu.
 
Sebelum ini Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata pihaknya bercadang mengkaji semula perjanjian air yang dimeterai oleh Khalid dengan Putrajaya dan tidak mahu beliau menandatangani Perjanjian Dasar Induk tersebut.
 
Perkara itu hanya boleh dilaksanakan jika Khalid digantikan dengan calon penggantinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
Selepas menandatangi Perjanjian Dasar Induk itu semalam, Khalid dilaporkan berkata perkembangan terbaru itu dianggap sebagai kemenangan untuk rakyat.
 
Kerajaan negeri telah membuat tawaran kepada kesemua empat syarikat konsesi air dengan pemilik saham Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd dan Konsortium Abass Sdn Bhd (Abass) telah menerima tawaran tersebut. 
 
Bagaimanapun pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPALSH) masih belum dimuktamadkan.

Tiada ulasan: