Nik Aziz (tengah) bersalaman dengan ahli Pas dan orang ramai yang menghadiri Majlis Aidilfitri Pakatan Rakyat di Kota Bharu, semalam Nik Aziz (tengah) bersalaman dengan ahli Pas dan orang ramai yang menghadiri Majlis Aidilfitri Pakatan Rakyat di Kota Bharu, semalam



KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihati ahli-ahli Pas supaya tidak mengeluarkan kenyataan mendahului pucuk pimpinan parti sehingga boleh dipolemikkan mana-mana pihak.

Menurutnya, setiap keputusan mesyuarat atau perbincangan melibatkan pimpinan tertinggi parti itu haruslah dihormati serta diumumkan oleh mereka yang dipersetujui menjadi jurucakap mesyuarat tersebut.

“Setiap mesyuarat ini ada kaedahnya, saya tidak boleh jadi jurucakap, kita ada setiausaha. Dalam hal mesyuarat semalam (kelmarin), Setiausaha, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh ada ke rumah saya selepas waktu Maghrib dan memberitahu keputusan mesyuarat kerana saya hanya menghadiri mesyuarat tersebut untuk setengah jam pertama sahaja.

“Bagi saya, keputusan itu sangat menarik namun biarlah diumumkan beliau (Nik Muhammad Zawawi). Kita ada peraturan, tidak boleh semua orang bercakap sahaja, walaupun langit terbuka, bumi terbuka, saya mahu perkara ini dijadikan contoh dan ikutan kepada orang Pas supaya tidak ada yang bercakap tidak tentu fasal,” katanya kepada media, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan persidangan Majlis Syura Ulama Pas yang bersidang, di sini, kelmarin ketika ditemui pada Majlis Mesra Aidilfitri Pakatan Rakyat Kota Bharu.

Nik Aziz ketika ditanya mengenai pendirian perebutan jawatan Menteri Besar Selangor itu turut berkata, perkara itu perlulah diselesaikan pihak berkenaan dengan cara berhemah tanpa penglibatan orang lain.

“Kelantan ini yang saya jaga macam anak sendiri pun saya beri pada orang lain. Tentang Selangor, biarlah mereka selesaikan nanti,” katanya.