Khamis, 21 Ogos 2014

65 Mangsa MH17 Dikenal Pasti, Pakar Kembali Ke Negara Masing-Masing

Oleh: AFP 
 
 
 
 
 
THE HAGUE: Pakar forensik Belanda telah mengenal pasti jumlah keseluruhan 65 mangsa nahas pesawat penerbangan MH17 yang ditembak jatuh, menurut kerajaan pada Sabtu, ketika pasukan penyiasat terakhir kembali dari timur Ukraine.

42 lagi mangsa telah dikenal pasti daripada mayat yang ditemui dari lokasi kemalangan, di mana operasi untuk mendapatkan kembali barang-barang kepunyaan mangsa telah dihentikan kerana berlaku pertempuran di antara tentera Ukraine dan pemisah pro-Rusia.

"Daripada jumlah mangsa tersebut, 21 adalah rakyat Belanda dan 21 lagi adalah warganegara lain," kata Kementerian Keadilan dalam satu kenyataan.

"Kewarganegaraan spesifik untuk mangsa-mangsa warganegara lain tidak didedahkan atas permintaan kedutaan negara masing-masing," katanya.

Penyelaras siasatan forensik, Arie de Bruijn pada Jumaat berkata kira-kira 176 mayat yang sempurna telah tiba di Belanda berserta 527 bahagian-bahagian anggota badan.

"Pasukan pakar bekerja sepanjang masa, tetapi sekali lagi ditegaskan ia boleh mengambil masa berbulan-bulan sebelum setiap mangsa boleh dikenal pasti," kata kerajaan Belanda.

Sementara itu, penyiasat-penyiasat dari Belanda, Australia dan Malaysia telah meninggalkan Ukraine untuk ke Belanda, agensi berita nasional ANP melaporkan.

Penerbangan pulang terakhir pasukan penyiasat polis dijangka mendarat di bandar selatan Eindhoven pada lewat malam Sabtu, termasuk ketua misi polis Belanda di Ukraine, Pieter-Jaap Aalbersberg.

Perdana Menteri Belanda Mark Rutte pada Rabu berkata carian bahagian-bahagian anggota badan di lokasi kemalangan itu sedang ditangguhkan kerana peningkatan keganasan di kawasan itu.

Kerajaan Belanda pada Sabtu mengeluarkan peta yang menunjukkan kawasan di mana pakar-pakar menjalankan carian mereka.

Penyiasat "melakukan carian selama 20 jam dalam tempoh enam hari," tetapi berdasarkan peta ia hanya meliputi kawasan kecil lokasi kemalangan yang luas.

"Tidak semua kawasan digeledah kerana pakar tidak dibenarkan masuk atau risiko keselamatan yang terlalu tinggi," kata kerajaan Belanda dalam satu kenyataan.

Kira-kira 800 pekerja Ukraine sebelum ini bagaimanapun melakukan carian  rapi banyak kawasan di mana pasukan antarabangsa tidak dapat memasukinya, tambah kenyataan itu.

"Ia dilakukan lebih profesional daripada tanggapan awal dan bahagian anggota badan dan barang-barang peribadi telah ditemui."

Tiada ulasan: