Jumaat, 8 Ogos 2014

400,000 kanak-kanak Gaza alami trauma

HARAKAHDAILY


GENEVA: Hampir 400,000 kanak-kanak di Gaza kini disahkan menghadapi trauma akibat serangan Zionis Israel yang telah membunuh ibu bapa, saudara dan rakan-rakan mereka  sepanjang empat minggu serangan.

Perkara itu disahkan Ketua Pejabat Lapangan Agensi kanak-kanak dan pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di Gaza, Pernille Ironside.

Menurut beliau, ramai dikalangan kanak-kanak mengalami kemurungan luar biasa dan usaha segera perlu dilakukan termasuk membina semula wilayah-wilayah kecil Palestin.

"Bagaimana kita mahu ibu bapa dan penjaga kepada anak-anak mereka memberi semangat positif sedangkan mereka sendiri hampir tidak berfungsi sebagai manusia?

"Rakyat telah kehilangan keseluruhan ahli keluarga mereka dalam serangan Zionis.

"Bagaimana masyarakat boleh menangani ini? Ini adalah satu luka yang kesannya sangat mendalam," katanya pada sidang akhbar PBB di Geneva.

Setakat 4 Ogos, sejumlah 408 kanak-kanak Palestin dilaporkan terbunuh. Dari jumlah itu 251 adalah pelajar lelaki dan 157 pelajar perempuan dan mereka berumur lingkungan 12 tahun atau lebih muda.

"Jika anda berumur tujuh tahun lebih, bermakna anda telah hidup melalui lebih dari dua peperangan sebelum ini.

"Perperangan terbaru ini adalah jauh lebih buruk daripada srangan 2008, 2009 dan 2012 sebelum ini.

UNICEF menganggarkan kira-kira 373,000 kanak-kanak telah mempunyai beberapa jenis pengalaman traumatik dan memerlukan sokongan psiko-sosial serta-merta, katanya.

Ketika ini juga Gaza kekurangan bekalan bekalan kuasa elektrik dan air yang meruncing selepas serangan yang memusnahkan bayak kawasan di Gaza.

"Terdapat hanya jumlah yang sangat terhad air yang ada. Ia digunakan untuk minum. Tetapi tidak cukup untuk kegunaan lain. Kami melihat kanak-kanak yang keluar dari rumah perlindungan ini dengan kudis, kutu, dan semua jenis penyakit berjangkit.

"Lebih buruk lagi adalah anak-anak di luar pusat-pusat perlindungan, tidak mempunyai sebarang akses kepada air untuk minum dan berada dalam keadaan teruk yang boleh mengakibatkan cirit-birit dan kematian lagi," kata beliau.- HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: