Isnin, 18 Ogos 2014

22 jenazah mangsa MH17 dijangka tiba Jumaat

MALAYSIAKINI


Sebanyak 22 jenazah mangsa tragedi Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 dihantar pulang dari Netherlands pada Khamis dan dijangka tiba di tanah air pada pagi Jumaat ini.
  
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong berkata
penghantaran pulang jenazah merangkumi 18 keranda dan empat bekas berisi abu mayat warganegara Malaysia dan seorang bukan warga Malaysia.
  
Beliau berkata proses dokumentasi kesemua 22 jenazah itu dijangka
diselesaikan pada Selasa ini termasuk memastikan kesemuanya menjalani proses pengurusan jenazah dan memperoleh kelulusan kerajaan Netherlands sebelum boleh dibawa pulang.
  
"Sehingga Sabtu (lepas), (urusan melibatkan) 18 keranda sudah selesai dan hanya empat bekas abu (mayat mangsa) sahaja belum diuruskan yang perkara ini kita jangka disempurnakan pada Selasa ini.
  
"Jadi, kita merancang untuk membawa balik kesemuanya pada tengah hari Khamis ini (dari Netherlands) dan dijangka tiba (di Malaysia) pada Jumaat ini," kata Wee kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia di Hague pada pagi Ahad.

Wee berkata kerajaan akan cuba membawa pulang jenazah rakyat Malaysia yang lain dalam masa terdekat dan ia bergantung kepada proses pengurusan jenazah dan kelulusan kerajaan Netherlands.
  
Pada lewat Sabtu, Wee berkata pihak berkuasa Netherlands mengenal pasti dua lagi mayat warganegara Malaysia menjadikan 26 jenazah rakyat Malaysia yang sudah disahkan identiti mereka.
   
Pada 14 Ogos lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata 24 jenazah rakyat Malaysia telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa Netherlands iaitu 14 penumpang dan 10 anak kapal.
  
Beliau berkata sempena istiadat penghormatan ketibaan jenazah rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 10 pagi Jumaat, kerajaan mengisytiharkan hari berkenaan sebagai hari berkabung negara.
   
Penerbangan MH17, yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai lepas.
  
Pesawat dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dipercayai ditembak jatuh, namun belum ada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap perbuatan itu.- Bernama

Tiada ulasan: