MALAYSIAKINI
Sekumpulan 12 NGO mewakili rakyat Selangor hari ini melancarkan
gerakan untuk mempertahankan pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid
Ibrahim sehingga penggalnya berakhir.
Kumpulan NGO itu mengutuk tindakan Pakatan Rakyat yang didakwa mereka
menjadi punca krisis, kekecohan dan ketidaktenteraman politik di negeri
itu ketika ini.
Mereka
turut mengumumkan bakal mengadakan program antaranya himpunan aman,
menghantar memorandum serta acara keagamaan sehingga malam merdeka bagi
menyampaikan mesej kepada semua pihak, dari Istana hingga ke jalan raya.
Seramai 30 wakil NGO hadir antaranya dari Persatuan Anak Selangor
Menyokong Menteri Besar (PASMEB), Gerakan Anak Bugis Selangor (GRABS),
Angkatan Rakyat Sedar (ARAS) dan beberapa lagi NGO wakili pelbagai
golongan masyarakat.
Mereka melancarkan Gerakan Kebangkitan Rakyat Selangor di Pusat Rekreasi Antan Bantura di Shah Alam hari ini.
Dalam sidang medianya, Pengerusi Penaja GRABS, Faisal Idris berkata
rakyat di negeri itu mempersoal mengapa Khalid yang juga ADUN Pelabuhan
Klang perlu ditukar.
"Saya tanya mengapa nak tukar pemimpin yang baik? PAS sendiri pun mengakui Khalid pemimpin yang baik.
"Ini pengkhianatan. Langkah Kajang bukan saja satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia tetapi negeri Selangor," katanya.
Sementara Pengerusi ARAS Abdul Rahim Abdul Wahab pula berkata negara,
Pakatan Rakyat dan negeri Selangor akan mengalami kerugian dan berdepan
impak negatif jika Khalid ditolak sebegitu rupa.
'Tak perlu ganti'
Beliau berkata Pakatan Rakyat perlu mengambil pemimpin yang benar-benar
berjiwa rakyat dan mendatangkan manfaat kepada rakyat Selangor.
"Setelah kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih (pada 2008), Khalid bawa
banyak perubahan bukan saja dari segi material, tetapi lebih penting
perubahan pendekatan politik.
"Dari pandangan saya, Khalid tak perlu diganti. Seharusnya beliau
habiskan penggal ini sebagai menteri besar dan sediakan penggantinya
selepas ini," kata Abdul Rahim.
Dalam
sidang media itu juga, penyanyi Herman Tino yang mewakili komuniti anak
seni di negeri itu, secara tenang menyeru semua rakyat Selangor
menyokong Sultan Selangor.
Beliau berkata beliau malu dengan situasi sekarang terutamanya apabila
seorang lagi menteri besar dimalukan kerana dipaksa meletak jawatan.
"Apapun sekarang ini ahli politik tak dapat tenteramkan negeri Selangor.
Saya mohon anak Selangor (termasuk yang) berada di atas pagar dan
sokong berdiri di belakang tuanku," katanya.
Sementara itu, PASSMEB akan menghantar memorandum kepada Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini menuntut agensi berkuasa itu
mengisytiharkan Khalid bebas korupsi.
Manakala GRABS dan NGO Solidariti untuk Khalid Ibrahim yang dipimpin
oleh Hazlan Shaffii Adil pula akan menghantar memorandum menyokong
Khalid ke Istana Alam Shah, di Klang petang ini.
Mereka juga akan mengadakan majlis solat hajat dan bacaan doa di Masjid Negeri esok bagi mendoakan perjuangan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan