Jumaat, 8 Ogos 2014

100 individu beri penghormatan pada pelajar Britain

MALAYSIAKINI


Upacara menyalakan lilin sebagai tanda penghormatan kepada dua pelajar perubatan warga Britain, Aidan Brunger dan Neil Dalton, yang mati ditikam pada awal pagi hari Selasa diadakan di tempat kejadian di Jalan Padungan di Kuching semalam.

Mangsa, berumur 22 dan 23 tahun, dijumpai terbaring di atas jalan raya dengan jarak kira-kira 20 meter antara satu sama lain pada jam 4 pagi Selasa.

Lebih 100 individu termasuk rakan-rakan mangsa menghadiri upacara itu.
  
Menteri Pembangunan Sosial Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom tiba pada jam 7.30 malam untuk menyalakan lilin dan meletakkan kalungan bunga sebagai tandavpenghormatan kepada kedua-dua mangsa.
  
Mangsa, berumur 22 dan 23 tahun, dijumpai terbaring di atas jalan rayavdengan jarak kira-kira 20 meter antara satu sama lain di Jalan Abell, Padungan pada jam 4 pagi Selasa.
  
Kedua-dua pelajar perubatan itu menjalani latihan amali di sebuah hospital di Kuching untuk tempoh tiga bulan.
  
Mereka tiba di Kuching pada bulan Jun dan kedua-dua mereka sepatutnya menamatkan latihan amali semalam.
  
Masyarakat tempatan mengutuk pembunuhan itu dan meminta polis egera menyiasat kes berkenaan dan mendakwa mereka yang terlibat.
  
Sementara itu, seorang kakitangan Newcastle University, United Kingdom (UK) Prof Reg Jordan berkata beliau bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membawa pulang mayat kedua-dua pelajar warga Britain itu ke UK.
  
Beliau berkata keutamaan sekarang ialah membantu keluarga mangsa dan memastikan mayat kedua-dua pelajar dibawa pulang ke UK dengan secepat mungkin.
  
"Kami memberi apa sahaja bantuan yang boleh dalam menghadapi keadaan yang tragik ini," kata beliau dalam kenyataan semalam.
  
Jordan berkata Aidan Brunger dan Neil Dalton, melakukan apa yang beribu-ribu pelajar perubatan lakukan setiap tahun dengan menimba pengalaman dan ilmu perubatan yang berharga di seberang laut.
  
"Kedua-dua mereka merupakan pelajar cemerlang dan komited serta mempunyai potensi dan kehilangan mereka akan dirasai oleh semua orang di sekolah perubatan. Seluruh universiti berkabung atas kematian mereka," kata beliau.
  
Setakat ini, empat suspek ditahan untuk membantu siasatan terhadap kejadian berkenaan.- Bernama

Tiada ulasan: