Sabtu, 5 Julai 2014

Wan Azizah jadi MB? Anwar kata belum bincang

MALAYSIAKINI


 


Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menangkis spekulasi bahawa isterinya yang juga presiden parti Datuk Seri Wan Azizah Wan Isamil akan menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor selepas sambutan Aidilfitri.

Anwar berkata, isu mengenai kemungkinan Wan Azizah mengetuai pentadbiran Selangor itu masih belum dibincangkan.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa timbul kebimbangan mengenai pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang diketuai Khalid.

Katanya, perkara itu dijangka akan dapat diselesaikan tidak lama lagi kerana akan menjejaskan keupayaan Pakatan untuk mentadbir Selangor sekiranya terus berlarutan.

Anwar bagaimanapun enggan menyatakan pendirian sama ada Khalid perlu terus kekal atau berundur dari jawatan menteri besar.

“Terdapat banyak kebimbangan mengenai Selangor, contohnya tiada rundingan dengan pemimpin negeri berhubung isu lebuhraya Kidex dan konsesi air," katanya.

"Saya mempertimbangkan semua pandangan, saya sedar, saya mendengar, dan berbincang dengan rakan kongsi kita, DAP dan PAS, semua ini dijalankan secara baik, melalui persefahaman antara semua parti," kata MP Permatang Pauh itu di satu majlis berbuka puasa di Guar Perahu.

Beliau mengulas laporan media bahawa Khalid akan digantikan dengan Wan Azizah selepas sambutan Aidilfitri.

Tiada ulasan: