Rabu, 16 Julai 2014

Ulang tahun ke-5 pemergian Beng Hock

LIM HONG SIANG


IBARAT buku dikoyakkan beberapa muka surat terakhirnya, kita gagal mengetahui kesudahannya meskipun berulang-kali menelaahnya. Tragedi kematian Teoh Beng Hock kekal sebagai misteri tanpa jawapan. Puas keluarga mendiang menyelak kepiluan sepanjang lima tahun ini, namun gagal dipertemukan dengan kebenaran.

Kes Beng Hock kini memasuki pusingan terakhir untuk menunggu keputusan Mahkamah Rayuan. Untuk media, sesuatu berita tidak bernilai seandainya hanya mengulangi kisah lama. Namun, apa yang kita tidak sedari, bahawa kepedihan yang sama diulangi keluarga mendiang sejak lima tahun lalu. Setiap kali perbicaraan berlangsung, setiap kali upacara peringatan diadakan, malah setiap kali wawancara dijalankan - keluarga Teoh terpaksa mengimbas semula kesedihan pemergian Beng Hock, ditusuk kezaliman yang dilakukan rejim ini.

Dengan mudah kita sebagai orang luar menasihati agar keluarganya "reda" dengan apa yang berlaku. Namun apakah ia semudah begitu? Kematian tanpa jawapan, tanpa kebenaran, malah tiada seorang pun yang memohon maaf ke atas kehilangan nyawa seseorang manusia. Dengan tegas adik Beng Hock, Teoh Lee Lan berkata, "Selagi tiada jawapan daripada kerajaan ini, kami tetap tidak akan reda!"

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kita gagal membayangkan ketabahan keluarga Teoh sepanjang lima tahun ini. Lee Lan terharu apabila orang yang tidak dikenalinya sebelum ini datang menghulurkan bantuan tanpa syarat, terluka apabila sesetengah datang untuk mencemuh dan mencacinya. Atas helaian petisyen, mereka menulis ayat-ayat yang mengguris hati, seperti "Padan muka Beng Hock ditimpa mala petaka". Ada pula yang bertanya, "Berapa pampasan kau dapat?"

Dengan nada yang sebak, Lee Lan membalas, "Anda tidak tanya apakah pembunuh telah ditangkap, sebaliknya ditanya wang pampasan. Anda tidak terfikir, apakah keluarga saya mahu wang pampasan sebegini, seolah-olah wang adalah segala-galanya? Jika wang adalah segala-galanya, bolehkah saya membeli nyawa anak kau dengan wang?"

Demikianlah adegan-adegan yang tidak kita ketahui di sebalik tabir. Lee Lan tetap yakin bahawa kebenaran akan terbongkar suatu hari nanti, meskipun sedar bahawa kita sedang berdepan dengan sistem negara yang cukup bobrok. Daripada mana beliau memperoleh kekuatannya, sedangkan semakin lama semakin sukar kita temui contoh yang berjaya menegakkan keadilan. Daripada kes bunuh Altantuya hinggalah kes rogol-bunuh Chee Gaik Yap, Malaysia telah menjadi negara yang sarat dengan jenayah tanpa penjenayah.

Namun Lee Lan tetap menanam keyakinan dalam dirinya. Beliau terharu dengan apa yang diperkatakan mendiang Karpal Singh kepada anaknya. Ketika ditanya anaknya, apakah Karpal masih menaruh harapan sedangkan institusi kehakiman kita sudah bobrok sebegini rupa? Karpal sekadar menjawab, anda boleh menyatakan ketidakpuasan terhadap apa yang sedang berlaku, tetapi jangan sesekali hilang keyakinan anda.

Malah Lee Lan sendiri pernah bertanya kepada Gobind Singh, tidakkah anda kecewa apabila perlu berdepan dengan penghakiman yang tidak adil? Ringkas sahaja jawapan Gobind, meskipun kecewa, kena ada orang yang usahakannya juga.

Ketabahan Lee Lan menjadi "kedegilan" dari kaca mata masyarakat yang semakin leka. Namun Lee Lan mengambil iktibar daripada pengajaran lima tahun yang lalu. Beliau kesal sehingga hari ini, kerana ketidaksampaian untuk melakukan sesuatu bagi mengelakkan kematian Beng Hock. Seandainya sesiapa di sisi Beng Hock peka dengan risiko yang ada ketika Beng Hock dinafikan hak untuk bertemu dengan peguam, mungkin tragedi ini boleh dielakkan. Mereka mungkin memantau perkembangannya dengan lebih rapi, tidak memberi ruang untuk tragedi ini mengambil tempatnya.

Maka Lee Lan enggan pasrah sehingga dirinya melakukan segala yang terbaik untuk mencari kebenaran. Beliau pantang apabila dikatakan "sia-sia sahaja usaha anda, kerana mustahil anda menemui kebenaran". Beliau menolak sokongan moral. Yang diperlukan adalah sokongan berbentuk tindakan. Lee Lan sedar dengan wujudnya andaian ini dan itu. Tetapi sebelum andaian bertukar menjadi kesimpulan, apa yang dipersoalkan adalah, "Anda boleh mengandaikan ini dan itu. Tetapi soalnya, adakah anda telah bertindak untuk menegakkan kebenaran?"

Lee Lan berterus-terang, bahawa masyarakat kita mudah lupa. Masyarakat ini hanya mampu mengkritik ini dan itu, tetapi merasakan dirinya tidak kesampaian untuk melakukan sesuatu yang lebih daripada mengkritik.

"Padahal kehadiran anda di mahkamah bukan untuk keluarga Teoh. Meskipun kebenaran ditemui suatu hari nanti, ia gagal mengembalikan nyawa abang saya. Kehadiran anda adalah sebagai tekanan untuk mendesak kerajaan, bahawa rakyat masih mengingati kes ini. Dan tekanan ini adalah untuk kebaikan kita yang masih hidup, kerana kitalah yang berpotensi untuk menjadi mangsa seterusnya seandainya kes sebegini tidak dipandang berat."

Kata-kata Lee Lan berasas. Masyarakat ini padahal menyedari taktik kerajaan untuk mengheret kes ini sebegitu lamanya. Taktiknya supaya kes ini menjadi dingin dan akhirnya hilang dari ingatan masyarakat. Namun masyarakat kita jugalah yang menjayakan taktik kerajaan, kerana sememangnya kita memilih untuk mudah lupa dan tidak lagi mendesak agar kematian dalam tahanan tidak berulang.

Tanggal 16 Julai 2014 menandakan ulang tahun kelima kematian misteri Beng Hock. Berapa lama lagi sanggup kita menunggu untuk keadilan ditegakkan? HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: