Isnin, 14 Julai 2014

Tipu orang ramai, Kementerian Pelancongan digesa siasat syarikat Lohas Premium

zairil

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP hari ini mendesak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan supaya segera mengambil tindakan terhadap syarikat agensi pelancongan, Lohas Premium kerana telah banyak mengaut keuntungan dengan menipu orang ramai.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, walaupun terdapat pelbagai laporan mengenai kegiatan penipuan Lohas Premium, namun sehingga kini kementerian masih tetap berdiam diri.

“Lohas Premium kini sedang disiasat dan diberi kata dua oleh Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) untuk mengemukakan laporan bertulis, sekiranya gagal, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan perlu membuat tindakan.

“Malangnya, pemeriksaan semasa mendedahkan tidak ada sebarang tindakan diambil ke atas Lohas Premium oleh kementerian.

“Lebih mengejutkan, pegawai kementerian mengesahkan bahawa Lohas Premium Travel and Lifestyle Sdn Bhd tidak secara rasmi dilesenkan oleh kementerian. Malah, daripada tiga syarikat dimiliki pengarah yang sama, hanya Lohas Premium Vacation Sdn Bhd memegang lesen sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Zairil menegaskan, kelicikan Lohas kini menimbulkan tiga soalan yang tidak terjawab.

“Pertama, bagaimana operator boleh mengiklankan pakej pelancongan sebagai Lohas Premium Travel and Lifestyle di laman web rasmi dan Lohas Premium Holidays di Groupon sedang ia dilesenkan dengan nama Lohas Premium?

“Kedua, apakah kementerian dapat mengambil tindakan terhadap mereka apabila Akta Industri Pelancongan 1992 hanya membenarkan denda atau membatalkan lesen pengusaha yang berdaftar?
Secara teknikal, Lohas Premium Travel and Lifestyle tidak wujud dalam pendaftaran.

“Ketiga, walaupun tindakan diambil terhadap Lohas Premium Travel and Lifestyle seperti dijanjikan MATTA, apakah akan ada kesan kepada dua anak syarikat lainnya? Khususnya terhadap lesen mereka?” soalnya.

Tambah beliau, bukan hanya dalam isu ini, terdapat banyak kes-kes seumpamanya yang masih beroperasi menggunakan nama syarikat berbeza.

Tegasnya, ini jelas menunjukkan peraturan-peraturan sedia ada tidak mencukupi dalam menghalang dan menyelesaikan kes penipuan pengusaha pelancongan yang tidak bertanggungjawab.

“Terdapat keperluan mendesak untuk mengkaji semula rangka kerja pentadbiran sedia ada bagi mencari jalan membendung ancaman daripada agensi pelancongan ini,” ujarnya.

Pada 1 Mei lalu, dilaporkan Lohas Premium gagal melunaskan pakej pelancongan ke Kemboja yang dibeli sekumpulan warga emas.

Selepas membayar RM4,996 dan tambahan RM4,050 untuk insurans, bagasi, dan tips, perjalanan tersebut telah dibatalkan dua minggu sebelum tarikh berlepas.

Oktober tahun lalu, pasangan suami isteri dari Pulau Pinang Phua Tat Teik dan Cynthia Lim sehingga kini masih belum menerima bayaran balik daripada Lohas setelah membeli pakej ke Kemboja bernilai RM1785 (RM999 dan tambahan RM786) walaupun perjalanan dibatalkan pada April tahun yang sama.

Berdasarkan laman Facebook Lohas Premium, syarikat itu pada 11 Jun lalu mengumumkan mereka sedang disiasat dan tidak dapat menjalankan sebarang kegiatan perniagaan pelancongan.

Komen pada laman Facebook mereka juga mendedahkan ramai pelanggan lain tidak berpuas hati dan meminta bayaran balik. -Roketkini.com

Tiada ulasan: