Ahad, 13 Julai 2014

Terus suarakan bantahan kepada Israel di PBB – Pemuda DAP

teo kok seong

Roketkini.com


KUALA LUMPUR:Pemuda DAP Kebangsaan (Dapsy) menggesa agar masyarakat antarabangsa terus menyuarakan bantahan terhadap serangan rejim Israel ke atas Gaza yang kini sudah masuk hari kelima.

Ketua Dapsy Teo Kok Seong menyifatkan serangan itu tidak boleh didiamkan dengan begitu sahaja kerana telah banyak mengorbankan nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa.

“Kita mengutuk sekeras-kerasnya serangan ganas pihak Israel. Ramai rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa mereka.

“Kita berharap agar negara-negara seluruh dunia dapat terus bersama-sama menyuarakan bantahan terhadap serangan terbaru ini, terutama melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,” katanya kepada Roketkini.

Menurut laporan Al-Jazeera, siri serangan terbaru yang bermula Selasa lalu setakat ini sudah mengorbankan 121 nyawa warga Palestin dan mencederakan 920 orang.

Namun, tiada tanda bahawa serangan ini akan berakhir dalam masa singkat, apabila Perdana Menteri israel Benjamin Netanyahu menyatakan beliau akan meningkatkan lagi serangan selagi Hamas tidak menghentikan serangan roket ke negara itu.

Kenyataan itu dibuat di sebalik gesaan Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon semalam, agar kedua-dua pihak melakukan gencatan senjata.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rasah itu juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar meyuarakan bantahan terhadap serangan itu agar dapat menyampaikan mesej jelas kepada Israel.

Serangan ke atas Gaza mendapat perhatian utama di laman sosial Facebook dan Twitter. Banyak pengguna berkongsi berita dan gambar tentang apa yang berlaku di Gaza. Hashtag #PrayforGaza juga setakat ini berada di tempat keempat di carta trending Malaysia. -Roketkini.com

Tiada ulasan: