Kejadian tanah mendap di Jalan Imbi semalam. Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB Kejadian tanah mendap di Jalan Imbi semalam. Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB


KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan sedang meneliti sama ada terdapat kecuaian pihak kontraktor yang menyebabkan kejadian tanah mendap di Jalan Imbi, di pusat bandar Kuala Lumpur, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kontraktor terlibat bakal dikenakan tindakan sekiranya terbukti berlaku kecuaian.

"Tanah mendap itu disebabkan kebocoran paip Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) sehingga berlaku mendapan tanah, barangkali kecuaian kontraktor. Jika disebabkan kecuaian kontraktor, kami akan ambil tindakan. Siasatan sedang dilakukan," katanya.

Tengku Adnan berkata demikian ketika mengulas kejadian tanah mendap di kawasan terowong bawah tanah di simpang empat Jalan Imbi selepas Majlis Pelantikan Anggota Jawatankuasa Badan Penasihat Rumah Ibadat Bukan Islam Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
  
Dalam kejadian 9.30 pagi semalam, sebahagian struktur terowong sepanjang 35 meter itu yang dalam pembinaan bagi mewujudkan empat laluan kenderaan untuk mengurangkan kesesakan di simpang empat Jalan Imbi, runtuh sedalam lima meter berikutan mendapan tanah.
  
Tengku Adnan berkata, kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan untuk menstabil semula kawasan itu selain menjalankan pemeriksaan terhadap trek Monorel yang terjejas. 

"Kami harap perkara ini akan selesai dalam dua minggu," katanya.
  
Beliau juga meminta mana-mana kontraktor yang melakukan kerja-kerja di bawah tanah agar lebih berhati-hati dan membuat kajian terperinci terlebih dahulu dalam melaksanakan tugas mereka. - Bernama