Mukhriz Mahathir Mukhriz Mahathir


ALOR SETAR - Seorang lelaki yang ditahan kerana disyaki melakukan ugutan bunuh ke atas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Sultan Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah, direman selama empat hari bermula semalam sehingga 17 Julai bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan berkaitan kes ugutan bunuh yang ditulis dalam laman Facebook menggunakan akaun ‘Padi Jantn’.

“Kita akan reman suspek selama empat hari,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan Ketua Pemuda Umno Jerlun, Ahmad Azhar Abdullah telah membuat satu laporan polis terhadap pemilik akaun ‘Padi Jantn’ apabila terbaca petikan yang berbaur ugutan dan ancaman terhadap Muhkriz.

Selain itu, Syed Unan berkata ugutan itu berkemungkinan mempunyai kaitan dengan isu Madrasah Salihiah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah, Mansor Ahmad bagaimanapun menegaskan mereka tidak terlibat dengan ugutan tersebut.