Isnin, 7 Julai 2014

Setelah 27 tahun, Harakah dibenci tetapi dirindui

ABD SHUKUR HARUN 


AKHBAR Harakah kini sudah berumur 27 tahun. Ia diterbitkan pada 27 Mac 1987. Sudah melangkaui alam remaja. Selama itu ia telah berkhidmat memberikan maklumat dari pebagai sudut kepada pembacanya.

Darinya kita mengetahui pergolakan poitik dalam dan luar negeri. Demikian juga bidang-bidang yang lain, terutama perkembangan Islam dalam dan luar negeri.

Dengan membacanya juga kita mengetahui dasar parti, pemikiran pemimpin, kegiatan PAS di sana sini dan pendapat umum. Hampir semuanya tersaji di dalam PAS. Maka itu, sewajarnyalah ahli PAS membaca Harakah.

Perlu diingat bahawa Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat telah menjadikan Harakah bacaan pentingnya setiap keluaran. Dari itu perlulah ahli PAS mencontohinya.

Harakah jadi perhatian oleh kawan dan lawan untuk mengetahui pandangan PAS dan perkembangan politik tanah air dari perspektif PAS. Harakah juga berisi rencana dan tazkirah dari ulama dan para pemimpin PAS kerana ia adalah mutiara yang berharga.

Harakah memang sangat luar biasa. Walaupun pemimpin dan pendukung parti lawan ‘membenci’ Harakah atas sebab yang diketahui, tetapi dalam masa yang sama mereka mencari-cari Harakah untuk mengetahui isi dan maklumat darinya.

Maka jadilah Harakah akhbar yang dibenci, tetapi dirindui, mengingatkan saya akan sebuah lagu nyanyian Broery Marantika,‘Benci Tapi Rindu’.

Mereka benci dengan Harakah kerana mengkritik parti yang memerintah, tetapi dalam masa yang sama mereka juga mencari-cari Harakah, ingin tahu akan isi kritikan Harakah.

Dengan itu walaupun ada orang suka dan ada pula orang yang bencikan Harakah, namun kehadirannya tidak kurang pentingnya kerana telahmemberi makna tertentu dalam sejarah negara, bahkan ia memberi sumbangan penting kepada kehidupan demokrasi di Malaysia.

Bahkan Harakah itu sendiri sebagai sebuah entiti adalah sebahagian sejarah dalam dunia pesuratkhabaran di negara ini.

Akhbar PAS ini bukan saja berisikan laporan dan ulasan politik dalam dan luar negara, tetapi berisikan tazkirah dari Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang dan para ulama yang memberikan pandangan dalam Harakah. Iaitu pandangan yang berasaskan ilmu.

Juga rencana politik, ekonomi, perundangan dan pendidikan serta kemasyarakatan. Pemimpin PAS yang sering muncul memberikan pandangan mereka di dalam Harakah antaranya Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefli Ahmad, Dr. Mujahid Yusuf Rawa, Hanipa Maidin, Khalid Samad, Dr. Mariah Mahmud dan ramai lagi.

Mereka mempunyai peminat yang ramai, bahkan sangat dihormati di kalangan dunia intelektual tanah air .Mereka mengupas pelbagai persoalan dengan hujah ilmu, bukan emosi dan bukan berdasarkan prejudis politik tetapi berbicara dengan fakta.

Umpamanya mereka mengupas isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST), isu Hudud, isu kalimah Allah dan isu-isu agama yang lain. Di samping itu juga isu toleransi kaum dan agama, isu rasuah dan pembaziran dan pelbagai isu yang lain.

Mereka mengupas dengan hujah rasional dan fakta, berdasarkan hujah Al-Quran, Hadis, Sunnah dan Ijmak Ulama dan pandangan kontemporeri yang tidak bertentangan dengan syarak.

Semuanya inilah yang tersaji di dalam Harakah. Justeru selain dari rencana bermutu, Harakah juga memuatkan berita dan gambar pebagai kegiatan ahli PAS seluruh tanah air.

Selama 27 tahun Harakah mendambakan dirinya kepada parti dan ahli parti, tentu saja kedudukannya dalam perkembangan gerakan Islam di Malaysia sangat penting. Orang mengenal PAS akan juga mengenal Harakah, demikian juga orang mengenal Harakah akan mengenal PAS. Ia adalah sinonim.

Dalam mengharungi usia 27 tahun itu, Harakah telah berdepan dengan pelbagai cabaran, khususnya dari pihak pemerintah sendiri. Pelbagai sekatan, ancaman ditarik balik permit, rampasan jualan Harakah, ugutan demi ugutan dan pelbagai lagi.

Namun, dengan penuh tabah dan bertawakal kepada Allah, maka petugas Harakah - dari Ketua Editornya, hingga staf editorialnya, pengurusan dan pengedarnya tetus mampu mengatasi cabaran ini. Hingga kini Harakah terus beredar.

Walaupun memang ada pelbagai kritikan kepada Harakah, malah dari pendukung PAS sendiri, tetapi ini tidak mengurangkan pentingnya ahli PAS membeli dan membacanya kerana dengan membeli dan membaca Harakah, anda menyumbang kepada ekonomi parti.

Dalam hubungan ini, dengan membaca Harakah, tentu sekali kita dapat sumber maklumat terkini dan sahih dari lidah rasmi parti sendiri. Tidak bergantung kepada sumber luar parti yang belum tentu kesahihannya.

Adalah berbeza antara orang yang membaca dengan yang tidak membaca dan tentulah berbeza juga antara mereka yang berimu dengan yang tidak berilmu.

Abd Shukur Harun ialah seorang wartawan veteran dan bekas Pengarang Harakah.

Tiada ulasan: