Ahad, 6 Julai 2014

Saat pemerintah hilang kasihan belas

tangan

 oleh ANAK MAMI DI PERANTAUAN


Gelandangan, fakir miskin, dan kelompok tidak bernasib baik seringkali dilihat sebagai penyakit oleh mana-mana sistem kerajaan yang mementingkan imej dan estetika korporat. Gelandangan berlindung di bawah jambatan dikira pencemaran, peminta sedekah dilihat bajingan. Dan perlahan-lahan masyarakat kehilangan hati dan perasaan.

Di kota London baru-baru heboh penghinaan yang dilemparkan terhadap syarikat pasaraya terkenal, Tesco yang dilaporkan meniru pendekatan yang diambil sebuah bangunan apartment mewah dengan meletakkan ceracak besi di ruang-ruang kosong yang dilazimi para gelandangan.

Tesco mendakwa ceracak besi itu diletakkan di situ supaya orang tiada boleh duduk bersidai minum-minum atau menghisap rokok di luar kawasan perniagaannya; tetapi siapalah yang boleh menipu masyarakat bertamadun apabila ia jelas sekali bertujuan menghalang mereka yang tiada tempat berteduh untuk berehat menghilangkan lelah.

Setelah menerima kutukan bertimpa-timpa daripada orang ramai yang melihat jelas kekejaman tersebut, Tesco pun membuang ceracak besi itu. Aksi bantahan antaranya dilakukan oleh London Black Revolutionaries yang membawa berbakul-bakul simen pada awal suatu pagi dan menimbus ceracak besi, meski dengan hasil kerja yang begitu selekeh sekali.

Tindakan kejam Tesco turut menimbulkan kemarahan Datuk Bandar London Boris Johnson yang menyifatkan pemasangan ceracak tersebut sebagai “hodoh, merugikan diri sendiri dan bodoh.”

Apa agaknya komen Boris Johnson terhadap Menteri Wilayah Tengku Adnan yang bercadang untuk mengambil tindakan terhadap peminta dan pemberi sedekah di ibukota Kuala Lumpur.

“Kita akan ambil satu kaedah di mana yang pemberi kita akan saman dan penerima pula akan kita ‘angkut’ kerana kebanyakan peminta sedekah ini adalah orang asing.”

“Selain itu, badan bukan-kerajaan yang memberi makanan secara percuma kepada gelandangan juga akan ditetapkan tempatnya dan tidak boleh merata-rata tempat kerana ini akan mengundang kekotoran,” katanya, seperti yang dilaporkan Bernama.

Kita akui bahawa kebanyakan peminta sedekah didalangi sindiket dan juga benar bahawa kebanyakannya warga asing. Tetapi bagaimana pula halnya dengan mereka yang benar-benar memerlukan dan sudah hilang punca serta tiada pilihan? Apakah dengan sekali ‘angkut’ dan dihumban entah ke mana maka masalah orang bernasib malang ini terus sahaja selesai?

Celakalah pemerintah yang memalingkan wajahnya daripada mereka yang bernasib malang dan hanya melihat para fakir miskin sebagai ‘peminta sedekah’.

Tambah bodoh ialah cadangan untuk mengenakan saman terhadap mereka yang memberi sedekah kepada golongan yang memerlukan ini. Kebangangan apakah yang sedang berlaku sehingga berbuat perkara baik pun boleh dihukum? Tambahan pula kenyataan yang begitu tidak berperikemanusiaan ini dibuat ketika umat Islam sedang berlumba-lumba berbuat kebajikan di bulan mulia Ramadhan al-mubarak.

Pada masa yang sama, orang ramai terus mempersoalkan fungsi institusi zakat yang nampaknya begitu gigih mengutip zakat tetapi sedikit kurang cekap dalam mengagihkan zakat. Lihat sahaja bagaimana kini sudah ada kemudahan bayar zakat pandu lalu. Namun kalau mahu buat permohonan bantuan, begitu menyusahkan sehingga selepas berhabis wang untuk berulang-alik ke pejabat zakat pun belum tentu bantuan akan diberikan.

Pelik sekali bagaimana manusia semakin lali dan tidak mampu merasa simpati terhadap manusia lain, dengan hujah-hujah yang begitu tidak manusiawi seperti “jangan terlalu bergantung kepada bantuan” atau yang lebih sinis “ulat dalam batu pun boleh hidup.”

Barangkali selepas kenyang dengan harta yang tidak berhak dijamah, hati mereka menjadi keras dan akhirnya perasaan simpati langsung mati.

Jadi apa masalah kalian dengan orang miskin? Jijik ya? Mereka kotor, berbau? Kalau demikian persepsi anda, nescaya tiadalah yang kalian perolehi daripada Ramadhan selain lapar dan dahaga. – Roketkini.com

Tiada ulasan: