Rabu, 9 Julai 2014

RM5.5 juta untuk 284 SAR, tingkat pembelajaran

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Sejumlah RM5.5 juta diperuntukkan Kerajaan Selangor kepada 284 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri itu yang bertujuan meningkatkan mutu pembelajaran secara holisitik.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali, berkata bantuan fasa pertama itu adalah bagi membantu sekolah berkenaan yang tidak pernah mendapat pembelaan sama ada semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) mahupun daripada kerajaan pusat.

Beliau berkata meskipun berada di negeri paling maju, namun suasana serta fasiliti di kebanyakan sekolah berkenaan sangat menyedihkan dan tidak selesa untuk kegunaan pelajar, lapor Selangor Kini.

Katanya, selepas melihat keadaan di sekolah berkenaan, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan sedikit bantuan supaya mereka berada dalam keadaan lebih selesa seperti sekolah-sekolah lain.

“Kita mahu suasana pengajaran dan pembelajaran di SAR dapat dilaksanakan secara holistik mengikut acuan mereka, maka sebab itu kita wujudkan bantuan ini supaya proses pembelajarannya melengkapi semua aspek,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Peruntukan Pendidikan SAR Selangor di Dewan Jubli Perak, semalam.

Halimah berkata, setakat ini sejumlah RM38.5 juta sudah diluluskan kerajaan negeri sejak tahun 2009 untuk diagihkan kepada SAR.

Katanya mana-mana sekolah yang berminat untuk mendapat bantuan berkenaan, boleh memohon secara talian di portal rasmi Kerajaan Selangor.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri memperuntukkan RM6 juta setiap tahun untuk bantuan SAR bermula dari tahun 2009 lagi.

“Kita uar-uarkan borangnya di portal kerajaan Selangor selain turut memaklumkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) supaya meminta SAR memohon peruntukan ini,” katanya lagi.

Tiada ulasan: