Selasa, 8 Julai 2014

Reformasi PKR gagal kerana kurang unsur adab?

 Oleh Abdul Rahman Malik

 
Post Pic
 


[ULASAN]  Pimpinan PKR memang amat tertekan dewasa ini. Reformasi atau pembaharuan budaya politik yang mahu diamal dan diserapkan dalam sistem politik Malaysia nampaknya menjadi bak “senjata makan tuan”.

Pada konsepnya, reformasi memang baik. Bagaimanapun untuk menjadikan ia satu realiti ia memerlukan masa dan keikhlasan. Lebih utama daripada itu, ia menagih budaya dan adab perubahan yang santun. 
 
Mengikat pemikiran politik ahli dengan peraturan yang kurang munasabah seperti  tidak boleh meluah rasa dan kerengsaan politik pada media agak bercanggah dengan naluri siasah ahli-ahli parti dan boleh diibarat “meludah ke langit”. 
 
Ini kerana pada pemerintah, PKR menuntut ketelusan dan kebebasan bersuara. Namun bagi ahli-ahlinya yang berjiwa bebas, PKR cuba menjadikan mereka pemikir dan pelaku politik yang “beradab” dengan mematuhi pelbagai syarat berbicara.
 
15 tahun belum cukup mematangkan PKR
 
Nampaknya tempoh 15 tahun belum memadai untuk mensebatikan soal adab politik ini dalam jiwa ahli dan penyokong PKR.  Ini kerana ketika mahu memperkenalkan kesantunan politik sebagai adab baru dalam parti pemimpin PKR dengan rakus menyindir, mengkritik dan mengutuk dasar-dasar kerajaan.
 
Misalnya, apabila musibah MH370 berlaku, tanpa mengambil faktor menjaga adab komunikasi antara negara, jabatan dan keluarga mangsa, PKR mengapi-apikan spekulasi dan pelbagai tuduhan pihak berkuasa menyembunyikan fakta.
 
Malah ada pemimpin tertinggi PKR yang memilih untuk menyebarkan spekulasi ini pada media antarabangsa untuk mendapat publisiti peribadi.
 
Walhal PKR sendiri maklum betapa pentingnya mempunyai garis panduan dan adab untuk menyuarakan pendapat dan menegur dalam parti. 
 
Sebaliknya, isu seperti jenayah yang dikatakan dilakukan oleh pegawai kerajaan di New Zealand semua dilonggokan sebagai ketidakcekapan, ketidakadilan dan kecurangan kerajaan.
 
Mengapakah pemimpin-pemimpin PKR tidak mengambil kira soal adab dan peraturan diplomasi antarabangsa dan memelihara maruah pegawai dan keluarganya? 
 
Namun itu jalan dan cara PKR berpolitik. Jika ia benar-benar mahu menjadi pembangkang yang efektif dan pada masa yang sama beradab maka peraturan berbicara dan melontarkan pandangan dalam parti dan “adab sopan”nya haruslah dilaksanakan dengan adil dan saksama.
 
Budaya tutup mulut pemimpin semakin mekar dalam PKR
 
Misalnya, patutkah Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Selangor kawasan Seri Muda, Shuhaimi Shafiei kerana melanggar larangan bercakap hal parti pada pihak media? 
 
Pada 4 Julai lalu beliau dilaporkan sebuah akhbar bahasa Inggeris bahawa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ingkar keputusan MPP pada 15 Januari lalu supaya meletak jawatan bagi mengizinkan projek “Langkah Kajang” dilaksanakan.
 
“Saya tidak mahu komen sama ada beliau (Khalid) masih layak menjadi Menteri Besar tetapi saya ingin menegaskan semula bahawa keputusan untuk mengganti Menteri Besar bukan dibuat oleh ahli parti tetapi oleh pucuk pimpinan bagi menggerakkan projek “Langkah Kajang”.
 
“Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan dihadiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pimpinan tertinggi parti,” kata Shuhaimi.
 
Pendedahan Shuhaimi ini menyerlahkan satu hakikat bahawa projek ini sebenarnya telah dirancang sejak awal tahun lagi. Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli pernah mendakwa bahawa pelan politik itu adalah ideanya. 
 
Difahamkan menurut perincian “Langkah Kajang”,  ADUN Kajang, Lee Chin Cheh akan meletakkan jawatan bagi mengizinkan pilihan raya kecil diadakan dan sekaligus memungkinkan Anwar bertanding menjadi ADUN Selangor dan dicalonkan menjadi Menteri Besar baru. 
 
Mengikut rasional Rafizi, jika Anwar menjadi Menteri Besar, PKR mahu menjadikan Selangor negeri contoh kepada rakyat apa yang Pakatan Rakyat mampu lakukan jika diberi mandat mentadbir Malaysia.
 
PKR masih berharap ‘Langkah Kajang’ dapat dijayakan
 
Shuhaimi berkata, “Langkah Kajang” masih idea yang bernas dan amat dinantikan oleh ahli-ahli PKR. Perkara berkenaan disahkan oleh Anwar dalam Konvensyen Nasional PKR Mac lalu.
 
Bagaimanapun Setiausaha Politik Khalid, Azmin Abidin menafikan bahawa MPP ada berbincang dan memutuskan bahawa Khalid perlu meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar pada mesyuarat 15 Januari itu.
 
“Itu tidak benar sama sekali. Jika benar MPP ada membuat keputusan sedemikian, tentu beliau (Khalid) maklum perkara itu kerana beliau juga adalah ahli MPP.
 
“Isunya di sini ialah ada individu atau kumpulan tertentu dalam PKR tidak berpuas hati  dengan Menteri Besar. Jadi mereka mahu mendesak beliau letak jawatan,” kata Azman. 
 
Kenyataan Shuhaimi kepada media banyak menyerlahkan strategi parti dan juga pergolakan dalaman PKR. Setakat ini tiada penafian dibuat oleh Shuhaimi beliau disalah lapor oleh akhbar berkenaan. 
 
Demi keadilan, Shuhaimi dan Azman juga patut dimasukkan dalam senarai mereka yang perlu diberi surat tunjuk sebab kerana kesalahan bercakap pada media hal strategi dan isu dalaman parti.
 
Mereka seharusnya dikenakan tindakan sama yang dihadapi oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin; calon Ketua AMK dalam pemilihan yang sedang berlangsung, Amiruddin Shari, dan Penyelaras DUN Pelabuhan Kelang, Faekah Husin. 
 
Ketiga-tiga mereka dikenakan tindakan disiplin itu kerana membawa perbalahan berhubung isu kerusi Menteri Besar Selangor kepada media. Apakah sentimen dalam pimpinan PKR ialah Khalid harus diturunkan dari kerusi menteri besar maka jika kenyataan Shuhaimi itu boleh membantu hasrat itu, ia bukan kesalahan?
 
Lebih penting lagi ialah, penyandang jawatan Menteri Besar sekarang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri juga perlu dikenakan tindakan yang sama kerana membuat pendedahan bahawa PKR sedang merancang melantik Anwar sebagai presiden seumur hidup. 
 
Khalid sindir Anwar jawat ketua umum tanpa dipilih
 
Umum tahu pendedahan Khalid itu lebih bersifat “sindiran” terhadap Ketua Umum PKR itu yang langsung tidak dipilih oleh ahli parti untuk mengisi kedudukannya sekarang. Justeru mengapa persoalkan kedudukannya sebagai Menteri Besar sekalipun beliau bukan Ketua Cabang?
 
Malah Khalid juga “mengacah” pimpinan PKR, PAS dan DAP sekaligus apabila membuat kenyataan bahawa demi kepentingan rakyat, beliau bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak sekalipun, termasuk Barisan Nasional.
 
Umum maklum bahawa kenyataan Khalid itu adalah reaksinya terhadap keresahan pimpinan Pakatan Rakyat bahawa beliau sering membuat keputusan secara unilateral (bersendirian) dalam mentadbir Selangor.
 
Khalid sering dituduh membelakangkan pandangan PKR dan Pakatan Rakyat seperti dalam isu rundingan penyusunan semula industri air di Selangor dan pembinaan lebuhraya bertol baru Kidex yang dikatakan boleh menggoyahkan kedudukan pakatan itu dalam pilihanraya umum akan datang. 
 
Soalnya, adakah pimpinan PKR bersedia dan mempunyai keberanian politik untuk menghimpun sesiapa sahaja bergelar pemimpin dan ahli parti dalam kandang “orang salah” setiap kali melanggar disiplin parti tanpa prejudis dan “pilih bulu”?
 
Pemimpin PKR perlu muhasabah diri. Reformasi akan pincang jika faktor adab berkomunikasi dan berpolitik ini tidak dititikberatkan. 

Tiada ulasan: