Khamis, 10 Julai 2014

Rakyat ingin kepimpinan yang tegas, kata Ambiga kepada Pakatan dan BN

OLEH EILEEN NG


Datuk Ambiga Sreenevasan kesal dengan sikap pemimpin kerajaan dan pembangkang yang seolah-olah tidak serius menangani permasalahan negara. – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Julai, 2014.
Datuk Ambiga Sreenevasan kesal dengan sikap pemimpin kerajaan dan pembangkang yang seolah-olah tidak serius menangani permasalahan negara. – Gambar fail The Malaysian Insider


Dengan isu perkauman dan agama yang semakin hangat sekarang, Datuk Ambiga Sreenevasan menyelar Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) kerana tidak mampu menenangkan situasi dan memperlihatkan kepimpinan yang tegas.

Bekas pengerusi bersama kumpulan pembaharuan pilihan raya Bersih 2.0 berkata, walaupun hari ini adalah ulang tahun ketiga Bersih turun ke jalanan bagi memperjuangkan reformasi pilihan raya, beliau tidak begitu yakin terhadap negara kerana kekurangan kepimpinan yang berkesan.

Beliau berkata rakyat Malaysia amat prihatin dengan apa yang berlaku di negara ini, termasuk amaran oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa Malaysia akan menyaksikan satu lagi "insiden berdarah" – merujuk kepada rusuhan kaum pada 13 Mei – jika tiada usaha dibuat untuk mengekalkan keharmonian antara kaum.

"Kami amat bimbang dengan beberapa jawapan daripada pihak pembangkang, yang saya rasa tidak benar-benar membantu.

"Kadang-kadang kami berasa pembangkang tidak bersuara pantas berhubung beberapa isu yang dibangkitkan.

"Kami rasa ini adalah isu berkaitan kepimpinan dalam kedua-dua BN dan PR. Beberapa tindakan perlu dibuat mengenai apa yang berlaku dalam negara hari ini dan kita berharap para pemimpin untuk memahami situasi ini," katanya hari ini pada satu majlis anjuran pejabat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan isu semasa.

Merujuk kepada permasalahan berkaitan perpaduan negara, Ambiga mengingatkan PR kerana tidak membuat pendirian mengenai ini.

 "Kadang-kadang, saya rasa kerajaan dan PR bertengkar sepanjang masa sedangkan apa yang kami mahukan penjelasan dan arah tujuan.

"Saya berharap PR akan mengambil pendirian yang kukuh mengenai perkara ini kerana rakyat sedang menderita dan menderita untuk masa yang lama," kata peguam terkenal itu.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, rakyat Malaysia tidak perlu pemimpin memainkan hal berkaitan agama dan bergantung kepada undi untuk mengambil tindakan.

Begitu juga mereka tidak mahu pemimpin yang melihat Putrajaya undi akhir atau pihak yang mendiamkan diri apabila rakyat memerlukan hala tuju.

"Apa yang rakyat perlukan bukan sahaja pembuat keputusan tetapi memperkasakan kepimpinan yang adil dan inklusif.

"Kita perlu memperkasakan kepimpinan yang akan mempertahankan rakyat daripada kedua-dua pihak BN dan PR bagi menangani isu-isu yang menyakitkan," tegas beliau.

Sebagai respons Anwar berkata, beliau menyedari kebimbangan rakyat seluruh negara terutama dalam tempoh 18 bulan lepas di mana terdapat perkembangan yang seolah-olah melemahkan perpaduan negara.

"Apa yang kita lihat adalah cubaan beberapa entiti membawa negara untuk mewujudkan polarisasi, bagi menyebarkan hasutan dan kebencian," kata beliau sambil menambah Islam menganjurkan umatnya mengelakkan sebarang bentuk ekstremisme dan sebaliknya, amalan kesederhanaan.

Beliau juga berkata Islam menghormati kebebasan individu bagi mengamalkan agama masing-masing.

"Untuk meningkatkan tolak ansur dan inklusiviti, mereka yang berkuasa perlu memastikan Perlembagaan dihormati. Ia bukan sekeping kertas yang mengandungi jargon undang-undang," katanya.

Tiada ulasan: