Selasa, 15 Julai 2014

Perkasa: Kalau tidak boleh tembak lebih baik bawa kayu

 
Logik akal, sekiranya bawa senjata tetapi tidak boleh digunakan bila berjumpa musuh maka ia adalah sia-sia


Ibrahim_aliPETALING JAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyokong seratus peratus hasrat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk memohon kebenaran pasukan keselamatan melepaskan tembakan terhadap individu atau kumpulan yang menceroboh masuk kawasan perairan Sabah.

Menurut Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, hal ini patut dilakukan bagi menjamin keselamatan negara, rakyat dan anggota keselamatan.

“Logik akal, kalau pihak keselamatan bawa senjata, tetapi tidak boleh digunakan bila berjumpa musuh, kita sudah kalah.

“Maka lebih baik bawa ‘kayu’ saja. Tidak perlu habis duit rakyat beli senjata kalau tidak boleh digunakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, tindakan itu seolah-olah membiarkan pasukan keselamatan dibunuh dahulu oleh penceroboh.

Bahkan, Ibrahim turut menyatakan apa-apa jua peraturan, apatah lagi bagi menjaga kedaulatan negara haruslah mementingkan dahulu keselamatan ‘pasukan keselamatan’.

“Atas prinsip maruah, keselamatan dan kedaulatan negara, Perkasa menggesa pihak kerajaan dan Perdana Menteri membenarkan hasrat TLDM untuk menembak penceroboh yang datang menceroboh ke negara kita,” ujarnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan bahawa pihak keselamatan perlu mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) “shoot on sight” atau ‘tembak apabila nampak’ yang lebih jelas terhadap kumpulan bersenjata yang menceroboh perairan negara untuk mendapat kelulusan kerajaan sebelum melaksanakannya.

“SOP perlu jelas supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.

Manakala, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, pasukan keselamatan harus diberi kuasa untuk menembak mana-mana pihak yang didapati menceroboh perairan negara.

Tiada ulasan: