Sabtu, 12 Julai 2014

Perbesarkan Klinik Kesihatan Kapar, sesak tampung 70,000 penduduk

Oleh: NORHAYATI UMOR


SHAH ALAM: Kerajaan Pusat digesa supaya mempercepatkan proses pembinaan sebuah klinik kesihatan yang lebih besar dan lengkap dengan kemudahan mencukupi di Kapar.

Exco Kesihatan, Dr Daroyah Alwi hal itu kerana Klinik Kesihatan Kapar yang sedia ada sesak ekoran terpaksa menampung kira-kira 70,000 penduduk dari kawasan sekitar.

Daroyah

Beliau berkata walaupun pembinaan itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke 10 (RMK10), namun pihak kementerian masih mencari lokasi yang sesuai.

“Walaupun pembinaan sebuah klinik kesihatan yang lebih besar dan lengkap diluluskan dibawah RMK10, pihak kementerian sedang mencari lokasi yang sesuai sebagai penempatan sementara sebelum Klinik Kesihatan 3 modelTeja siap dibina.

“Dua lokasi telah dikenalpasti dan dalam proses untuk memastikan segala prosedur dapat diikuti selain selamat untuk digunakan.

“Kita berharap supaya kementerian dapat mempercepatkan segala proses agar kepentingan rakyat sentiasa diberi perhatian dan menjadi keutamaan,” katanya menerusi laman sosial Facebook selepas mengadakan lawatan bersama Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), semalam.

Terdahulu, Daroyah turut berkesempatan melawat Klinik Desa Padang Jawa yang dikosongkan sejak akhir tahun 2013 bagi memberi ruang kerja-kerja proses menaik taraf.

Klinik yang menerima jumlah pesakit harian sekitar 60 hingga 80 orang itu dipindahkan sementara ke Balai Raya JKKK Padang Jawa sehingga bangunan asal siap dinaik taraf.

Selain itu, beliau turut melawat Klinik Kesihatan Taman Medan bagi meninjau situasi padat dan keadaan sebenar klinik terbabit.

“Sebagai klinik kesihatan gred 3, ia sepatutnya memberi perkhidmatan kepada 50,000 penduduk sekitar, tetapi klinik kesihatan ini memberi perkhidmatan kepada 350,000 penduduk sekitar dari kawasan Petaling Jaya.

“Dengan kapasiti sedia ada klinik ini terpaksa menampung jumlah pesakit harian mencecah 800 hingga 1,000 pesakit.

“Bagi mengurangkn kesulitan itu, pihak JKNS meluluskan tambahan bangunan dua tingkat yang akan mula dibina pada Disember tahun ini,” katanya.EZY

Tiada ulasan: