Khamis, 31 Julai 2014

PAS Perlu Uruskan Krisis Segera




Oleh SUHAIZAN KAIAT


Merujuk kepada isu-isu yang melanda PAS sekarang, saya berpendirian bahawa perbezaan pendapat adalah perkara biasa bahkan ia turut berlaku dalam rakaman sejarah perjuangan Islam sejak dahulu lagi. Yusuf Qardhawi turut ada mengarang sebuah penulisan ilmiah bertajuk Adaab al-ikhtilaf (Adab berbeza pendapat).

Pepatah Inggeris ada menyebut "Two heads are better than one". Kerana itu saya yakin perbezaan pandangan yang sedang berlaku dalam PAS mutakhir ini adalah bertujuan demi melihat PAS lebih berjaya.

Walaubagaimanapun perbezaan akan bertukar kepada krisis jika tidak diurus dengan betul. PAS tidak boleh berselindung dan berada dalam sindrom penafian. Hakikatnya PAS sedang berada dalam keadaan krisis yang meruncing sekarang.

Justeru, PAS perlu mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam menguruskan konflik atau krisis khususnya yang terhasil daripada kepelbagaian yang wujud. Kegagalan menguruskan krisis dengan berkesan sehingga ke akar umbi parti, akan menyebabkan isu ini terus berulang-ulang. Lebih malang lagi, imej serta kepercayaan rakyat terhadap PAS akan terhakis sebelum PAS dan Pakatan Rakyat dapat menguasai Putrajaya lagi.

Pemuda juga amat bimbang jika krisis atau konflik ini tidak diurus dengan baik, ia akan memberi ruang kepada musuh-musuh PAS khususnya UMNO menggagalkan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih Putrajaya dalam PRU ke-14 bagi meneruskan agenda perubahan dalam urustadbir dan tatakelola Malaysia.

Akhirnya, Pemuda mendesak supaya mesyuarat PAS Pusat diadakan segera. Tarikh 10hb Ogos terlalu lewat untuk mengurus krisis yang sedang berlaku. Rakyat Malaysia sedang memerhatikan PAS menguruskan masalah dalamannya. Saya yakin dengan kebijaksanaan kepimpinan PAS mampu mendepani masalah yang sedang berlaku.

SUHAIZAN KAIAT
Ketua Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: