Selasa, 15 Julai 2014

Pakatan nafi mesyuarat bincang pengganti MB Selangor semalam

THE MALAYSIAN INSIDER .


Sekretariat Pakatan Rakyat nafi mesyuarat semalam membincangkan isu masa depan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Gambar fail The Malaysian Insider.
Sekretariat Pakatan Rakyat nafi mesyuarat semalam membincangkan isu masa depan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Gambar fail The Malaysian Insider.


Sekretariat Pakatan Rakyat (PR) menafikan laporan portal yang mendakwa mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat semalam membincangkan masa depan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

 Penyelarasnya Shabrimi Sidek berkata kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali semalam perlu dirujuk yang menyatakan masa depan Khalid hanya ditentukan Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

"Sekretariat Pakatan Rakyat merujuk beberapa rencana dalam media yang menyentuh mesyuarat Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat yang berlangsung semalam khusus dakwaan isu calon pengganti menteri besar Selangor.

 "Sekretariat mengulangi kenyataan yang dibuat Mustafa pada sidang media selepas mesyuarat tersebut isu menteri besar Selangor termasuk isu calon pengganti tidak dibincangkan dalam mesyuarat dan diserahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Portal Astro Awani Online hari ini melaporkan PAS dan DAP memberi persetujuan terhadap pelantikan Mohamed Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR sebagai menteri besar Selangor dalam satu pertemuan tertutup PR semalam.

Bagaimanapun, keputusan akhir dijangka diputuskan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Portal itu memetik sumber berkata nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga hampir pasti digugurkan daripada senarai calon menteri besar selepas PAS tidak memberi sokongan terhadap menteri besar wanita.

"PAS tidak setuju MB wanita, PAS mahu Azmin.DAP pula setuju Azmin tetapi hormat dan tunggu keputusan Anwar. Bagaimanapun Majlis Presiden Pakatan Rakyat akan mengadakan perbincangan akhir sebelum raya.

"Pelantikan akan dibuat selepas hari raya seperti yang dimaklumkan sebelum ini," kata sumber itu kepada Astro Awani.

Sementara itu, Badan Perhubungan Umno Selangor mendakwa laporan yang mengatakan Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu akan diangkat sebagai menteri besar Selangor hanya gimik politik.

 Pengerusinya Datuk Seri Noh Omar berkata isu Pakatan Rakyat (PR) mahu menggugurkan Khalid sebagai menteri besar Selangor sudah lama berlarutan dan ia tidak lebih daripada "cakap tidak serupa bikin".

"Kita lihat saja sama ada mereka ini mampu atau tidak mengotakan apa yang dikata.

 "Pembangkang lebih kepada cakap tidak serupa bikin," katanya kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Tiada ulasan: