Palestin


KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) merayu kesemua 57 negara anggotanya serta pertubuhan antarabangsa agar menghulur bantuan khususnya dalam bentuk perubatan, kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang sedang berdepan pencerobohan berterusan Israel.
  
Setiausaha Agung OIC Iyad Ameen Madani dalam rayuannya berkata pencerobohan ganas di Gaza itu didahului dengan kepungan yang tidak berperi kemanusiaan - jenayah yang telah lama berlarutan dan mesti dihentikan segera.

Menurut kenyataan OIC, rayuan setiausaha agung itu dibuat berikutan Mesyuarat Eksekutif Luar Biasa Peringkat Menteri OIC yang telah diperbesarkan pada 10 Julai membincangkan situasi buruk di kawasan Palestin yang ditakluki termasuk AlQuds/Jerusalem.
  
Rakyat Palestin khususnya di Semenanjung Gaza mengalami kekurangan ubat-ubatan berikutan pencerobohan dan kepungan zalim berterusan ke atas Gaza oleh Israel.
 
Sementara itu, setiausaha agung itu menyanjungi tindakan penjaga Dua Masjid Suci yang membekal bantuan bernilai US$200 juta kepada Persatuan Palang Merah Palestin bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.
  
Madani juga menzahirkan penghargaan kepada Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan negara-negara rakan lain yang turut menghulur bantuan untuk rakyat Palestin. - Bernama