Khamis, 3 Julai 2014

NZ sambut baik M'sia hantar balik Rizalman

MALAYSIAKINI



 


Menteri Luar New Zealand Murray McCully menyambut baik pengumuman Malaysia bahawa pegawai yang dituduh melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita muda di Wellington akan dihantar semula ke New Zealand.
  
McCully mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia terhadap apa yang disifatkannya sebagai "perkembangan yang amat dialu-alukan yang menunjukkan niat baik dan integriti bagi kedua-dua pihak menangani isu ini.
  
Tidak pernah ada niat bersama oleh mana-mana kerajaan untuk melupakan saja isu itu, tidak kira sama ada proses itu berlaku di Malaysia atau New Zealand, ada komitmen yang kuat untuk memastikan keadilan dilaksanakan, kata beliau dalam kenyataan menerusi www.beehive.govt.nz, laman web rasmi kerajaan New Zealand.
  
Langkah untuk menghantar balik Pegawai Waran II Muhammad Rizalman Ismail, bekas Pembantu Staf Pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, diumumkan oleh Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan sebelumnya.
  
Dia dituduh melakukan pecah rumah dan serangan seksual dengan niat untuk merogol.
    -
McCully berkata beliau telah berhubung dengan rakan sejawatnya Datuk Seri Anifah Aman  yang memberitahunya bahawa pihak berkuasa Malaysia akan menghantar balik pegawai itu ke New Zealand untuk membantu pihak berkuasa negara itu dalam siasatan.
  
Pihak berkuasa Malaysia, kata McCully, telah menawarkan bantuan dalam siasatan yang dijalankan.
  
"Saya menyambut baik penglibatan mereka yang berterusan," kata beliau.
  
Beliau berkata perlu diingat bahawa tertuduh mempunyai hak untuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan berhak dibicarakan secara adil.
  
"Ini sekarang adalah soal untuk tindakan polis dan mahkamah dan saya tidak akan mengulas lebih lanjut," kata McCully.- Bernama

Tiada ulasan: