Ahad, 6 Julai 2014

Muhyiddin: Peristiwa 13 Mei mungkin tercetus lagi

MALAYSIAKINI


 


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran bahawa peristiwa rusuhan kaum mungkin akan timbul semula sekiranya perpecahan antara kaum terus berlarutan dan tidak dibendung.

Laporan Utusan Malaysia hari ini menyebut, peristiwa 13 Mei itu juga mungkin timbul sekali lagi jika berlaku sekali lagi jika Perlembagaan terus dipersoal.

Muhyiddin memberi amaran tersebut memandangkan “perbalahan kaum ketika ini sudah menjadi kebiasaan apabila satu kaum mengkritik kaum lain”.

"Sebab itu timbul pelbagai andaian apabila hubungan kaum sudah sampai ke tahap cetus ketegangan dan hubungan tidak baik. Ini boleh menyebabkan peristiwa tersebut dan saya tidak mahu sebut tarikh itu (13 Mei 1969).

"Sebab itu kita harus lihat kembali apa yang dilakukan pejuang kemerdekaan. Kita sudah hampir 57 tahun merdeka dan berupaya membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu padu.

“(Sebelum ini) memang ada perbezaan dan salah faham tetapi tidak sehingga kita berbalah atau berlaku perpecahan," katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Masalah hubungan antara kaum itu diburukkan lagi dengan spekulasi dan tokok tambah dalam laman sosialTambahnya, katanya yang menggesa rakyat tidak mudah mempercayai khabar angin.

Kenyataan itu disambut dengan nada sinis oleh penasihat DAP Lim Kit Siang yang mempersoalkan sekiranya Muhyiddin mengakui kegagalan BN dalam merangka dasar perpaduan negara.

“Beliau mengakui kegagalan BN apabila membayangkan bahawa satu lagi peristiwa 13 Mei tidak mustahil akan berlaku,” kata Lim.

MP Gelang Patah itu berkata ia juga membuktikan bajhawa dasar 1 Malaysia yang dianjurkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menemui kegagalan.

“Berdasarkan kenyataan Muhyiddin itu, Kabinet dan Majlis Tertinggi BN sepatutnya mengadakan sidang tergempar kerana negara menghadapi situasi paling kritikal dalam tempoh 45 tahun,” katanya.

Tiada ulasan: