Sabtu, 5 Julai 2014

M'sia hantar Rizalman ke NZ minggu depan

MALAYSIAKINI


 


Bekas pembantu staf pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Pegawai Waran II Muhammad Rizalman Ismail dijangka dihantar balik ke negara itu minggu depan.
  
Bernama melaporkan menurut sumber terdapat beberapa perkara yang perlu diselaraskan antara kedua-dua buah negara terlebih dahulu.
  
"Perkara itu PNC (Private and Confidential) untuk dibincangkan bersama media. Perkara itu perlu dibincang bersama dengan pihak di sana (New Zealand) kerana kita tidak mahu sebarang perselisihan faham wujud," katanya kepada Bernama di ibu negara, hari ini.
  
Keputusan untuk menghantar balik Muhammad Rizalman yang dituduh melakukan pecah rumah dan serangan seksual dengan niat untuk merogol, diumumkan oleh Kementerian Luar pada Rabu lepas.
  
Menurut kementerian itu, Malaysia menaruh keyakinan penuh terhadap sistem perundangan New Zealand dan mempunyai kepercayaan penuh bahawa tertuduh akan diberi layanan adil secara bermaruah seperti diperuntukkan di bawah undang-undang.

Sementara itu, tertuduh telah meminta ekstradisinya dilengahkan sehingga akhir Ramadan pada 28 Julai, lapor Straits Times.

Menurut laporan itu, permintaan berkenaan dijangka tidak akan dipenuhi.

"Saya fikir kita tidak mahu satu lagi kemalangan antarabangsa berlaku selepas kehilangan MH370," sumber Kementerian Pertahanan memberitahu dpa, yang meminta untuk tidak dinamakan kerana tidak berkuasa untuk mengulas mengenai isu melibatkan diplomat tersebut.

Tiada ulasan: