Ahad, 20 Julai 2014

MH17: Panggil segera kedutaan Ukraine

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memanggil segera kedutaan Ukraine di Malaysia bagi memberi keterangan berhubung insiden membabitkan pesawat MAS MH17 yang didakwa ditembak jatuh berhampiran sempadan Ukraine Rusia.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menegaskan kerajaan perlu berani dalam pendirian membuat siasatan awal dengan memanggil wakil negara tersebut.

"Kita mahu mendapat penjelasan daripada Ukraine berhubung insiden tersebut yang dilihat membabitkan kumpulan pemberontak dengan kerajaan Ukraine.

"Kerajaan perlu berani serta tidak perlu tunduk dengan negara tersebut kerana apa yang berlaku itu disebabkan konflik di negara itu," jelasnya.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Pokok Sena turut meminta agar kerajaan mempersoalkan kenapa terdapat arahan yang dikeluarkan menara kawalan trafik udara Ukraine agar MH17 terbang pada ketinggian 33 ribu kaki.

"Berdasarkan pelan penerbangan, pesawat komersil itu memohon untuk terbang pada ketinggian 35 ribu kaki, bagaimanapun ketika melintasi ruang udara Ukraine menara kawalan telah mengarahkan terbang pada ketinggian 33 ribu kaki.

"Kita ingin Ukraine jelaskan kenapa arahan tersebut diberikan dan apa masalah yang akan berlaku jika MH17 terbang pada ketinggian asal," sambung beliau.

Dalam pada itu, beliau juga berharap kerajaan turun memanggil kedutaan Rusia kerana negara itu berada di belakang pemberontakan dan ketegangan antara kedua-dua negara.

"kerajaan tidak boleh memandang ringan tentang kemungkinan keterlibatan kedua-dua negara dalam percaturan politik antara mereka," kata beliau lagi. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: