Sabtu, 12 Julai 2014

Mesin Perang Gila Israel bunuh penduduk Palestin di Gaza




Oleh Ismail Hashim


Masyarakat di seluruh dunia Islam sekarang mengalami kegoncangan psikologi dan emosi yang amat dahsyat akibat serangan ganas Israel dan menyaksikan tontonan kekejaman regim haram Zionis yang membunuh dan mencederakan penduduk awam Palestin.

Luapan emosi ini mencetuskan kemarahan dunia Islam terutamanya di bulan Ramadan yang begitu biadap menyerang Gaza tanpa mempedulikan kemuliaan bulan ini. Malah ini adalah bulan keamanan yang tidak dihormati Israel langsung.

Tidak seorang elit kepimpinan Israel mahupun Amerika Syarikat dan sekutu yang lain mempunyai hati nurani dan tidak merasa bahawa serangan ini sebenarnya tidak dilandasi oleh rasionaliti iaitu tujuannya sekadar melayani nafsu dan hasrat kebuasan yang lebih keji dari binatang.

Serangan ini hanya berdasarkan kepada suatu kegilaan atau delirium yang dikembangkan oleh para pemimpin keganasan dan kekerasan yang menjiwai sebuah mesin tidak rasional.

Mesin-mesin perang atau “war machines” secara besar-besaran dengan teknologi persenjataan tercanggih yang digunakan regim haram Yahudi sekarang adalah digerakkan oleh “mesin-mesin kegilaan” para jeneral dan pemimpin pengganas yang mengembangkan dirinya dalam “fantasi-fantasi gila” mengenai wira dan keperwiraan, kekuasaan, keunggulan dan gejolak mesin hasrat.

Fantasi-fantasi gila para pemimpin pengganas ini telah melacurkan akal sihat dan membawa mereka kepada keadah fikiran singkat mengenai kemenangan, kekuasaan, kemusnahan dan kehancuran massa sambil mencampakkan cara berfikiran rasional mengenai kesan selepas perang ke atas penduduk Gaza, rakyat Palestin dalam mencapai keamanan di Timur Tengah.

Fantasi-fantasi dan mitos gila ini mengenai keperwiraan dan keunggulan bangsa Israel dan kemuliaan bangsa yang terpilih membawa perang sekarang ini ke perangkap kegilaan fantasi itu sendiri dan mencemari realiti yang sangat diperlukan seperti tindakan tegas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Negara Islam (OIC) yang sangat lemah yang tidak ditemukan pendirian sebenar mereka.

Suatu perang yang tujuan dan ideologinya terputus dari dunia realiti dan menghamba kepada kegilaan mitologi dan fantasi para pemimpin Yahudi Zionis mengenai masa silam, perang yang menggunakan sebuah metafora psikoanalisis dianggap sebagai skizofrenia, perang pemimpin skizofrenik.

Skizofrenia adalah suatu kecenderungan psikis kepada diri seseorang yang di dalamnya skizo-war adalah sebuah perang, yang di dalamnya seorang pemimpin perang hidup di dalam dunia fantasi liarnya, menguasai dunia dari Israel dan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya dan menciptakan perang sebagai realisasi dari keliaran fantasi ini.

Inilah fantasi-fantasi Benjamin Netanyahu tentang "kebesaran", "kemuliaan", "kesucian", dan "keagungan" bangsa Yahudi di dunia-kegilaan fantasi yang melampaui kegilaan fantasi Hitler tentang kebesaran ras Aria, yang skalanya sangat terbatas dan mengimpikan Isreal Raya penguasaan Israel dari Iraq ke Madinah di Arab Saudi.

Schizo-war adalah sebuah perang, yang di dalamnya tanda-tanda fantasi bercampur aduk dengan realiti, membentuk hiper-realiti.

Dalam fantasinya, Netanyahu boleh saja melukiskan tentara Israel sebagai "tentera suci" yang melakukan "pembebasan" rakyat Israel yang tertindas dari pemimpin Hamas yang kejam, serta "melindungi" dunia dari bahaya yang mematikan.

Dalam realitinya, "pembebasan" itu tidak lain dari "pembunuhan", "melindungi" dan ia tidak lain kerana ia "membahayakan" kewujudan Israel.

Skizo-war adalah sebuah perang, yang di dalamnya bahasa moraliti digantikan dengan "fantasi-fantasi liar mengenai moraliti" dengan cara mempermainkan moral itu sendiri sehingga menciptakan semacam sesuatu yang tidak bermoral.

Dalam fantasi liar moralitinya, Netanyahu boleh sahaja melukiskan, rakyat Israel akan menjadi saksi kepada semangat "kemuliaan" dan "keperjuangan" tenteranya – sebuah fantasi yang amat bertentangan dengan realiti moral.

Mesin-mesin fantasi gila ini telah menciptakan “absurdity” perang yang mengerikan, yang di dalamnya berjuta-juta kematian, banjir darah, tangisan, keputuasaan, trauma dan kehancuran yang tidak lebih daripada suatu kegilaan atas kegilaan.

Di samping itu terdapat suatu mesin yang tidak kalah hebat dari mesin fantasi mitos itu iaitu mesin gejolak hasrat.

Gilles Delueze dan Felix Guattari dalam bukunya “Anti Oedipus: Capitalism dan Schizophrenia” (1982) melihat skizofrenia sebagai mesin fantasi dan juga sebagai mesin hasrat iatu mesin yang membebaskan hasrat dari segala tembok penghalangnya.

Ini adalah sebuah mesin yang membebaskan keinginan, hasrat atau nafsu dengan melanggar segala bentuk peraturan atau undang-undang, menghancurkan segala bentuk persetujuan sosial mahukan peraturan agama seperti tidak dibenarkan berperang sebagai menghormati bulan Ramadan dan mencemari segala bentuk moral yang menghalanginya.

Mesin hasrat seperti inilah yang mengendalikan mesin perang Israel. Dengan melanggar segala kuasa, menembusi setiap norma, mencampakkan semua kesahihan undang-undang dan membuang setiap hukum dan undang-undang alam, Netanyahu telah memasuki ruang terlarang sejagat untuk menemukan ruang pembebasan hasrat yang buas tidak terkendali.

Mesin-mesin hasrat pemerintah Yahudi tidak pernah henti gelora hasratnya yang tidak sahaja merobohkan asas-asas moral masyarakat antarabangsa tetapi memporak-perandakan tatanan sejagat yang dibina organisasi seperti PBB menuju ke arah penghancuran. Kegilaan hasrat Netanyahu meremehkan tata dunia yang ada seperti demokrasi dan pasaran bebas.

Alangkah malangnya nasib dunia Islam yang lemah dan tidak berdaya yang lama dikuasai oleh pemimpin skizofrenik yang merosakkan dunia Timur Tengah daripada kegilaan fantasi dan mitos di mana impian Israel Raya memusnahkan Palestin dan penduduknnya.

Tiada ulasan: