Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek


PUTRAJAYA - Orang ramai yang menjadi mangsa mesej dan akaun palsu di media sosial digesa menjelaskan perkara sebenar di akaun rasmi (sebenar) bagi mengelakkan kekeliruan timbul.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pemilik akaun seperti Facebook dan Twitter perlu menjelaskan keadaan sebenar jika akaun mereka telah diceroboh atau dipalsukan untuk memuat naik kenyataan berbaur fitnah dan negatif.

"Mereka yang merasakan diri mereka dianiaya atau ada orang menggunakan akaun mereka, ataupun orang membuat akaun palsu menggunakan nama mereka, boleh mereka membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Tetapi dalam masa yang sama mereka sendiri boleh menerangkan melalui akaun (rasmi) benar mereka, jika tunggu siasatan akan mengambil masa lama," katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui di pejabat kementeriannya di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut penyebaran maklumat palsu yang disebarkan melalui media sosial seperti Twitter, kononnya dikeluarkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengenai MH17.

Malah perkara itu menjadi kecoh apabila ia dibangkitkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wee Ka Siong dalam perbahasan usul tergempar mengenai tragedi malang yang menimpa pesawat MH17 pada Persidangan Khas Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, minggu lalu.

Bagaimanapun Rafizi bangun menafikan dakwaan mengatakan beliau memuat telah naik twit mengatakan kerajaan menggunakan duit rakyat untuk merasuah puak pemisah bagi mendapatkan kotak hitam pesawat MH17.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery juga menyifatkan akaun palsu atau parodi itu adalah sesuatu yang biasa dan merupakan sebahagian daripada perkara negatif dalam media sosial yang perlu dihadapi oleh semua pihak.

Namun tegasnya semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk menerangkan kepada umum jika akaun mereka diceroboh atau dibuat pendua.

"Saya sendiri pun melalui perkara ini, orang menggunakan akaun menyokong saya, tetapi sebenarnya memburukkan saya dengan menyampaikan mesej yang salah dan sebagainya.

"Sebab itu semua rakyat kena berhati-hati, tidak semua dalam media sosial itu betul, menggunakan nama orang itu betul, kita kena bertanya dulu apakah ini merupakan akaun sebenar," katanya lagi.