Rabu, 9 Julai 2014

MCA dan Gerakan gagal ujian pertama tugasan kabinet – Lim Kit Siang

lks (1)

Roketkini.com


KUALA LUMPUR,: Dua parti komponen Barisan Nasional, MCA dan Gerakan gagal ujian pertama setelah seminggu menyertai kabinet apabila tidak langsung menegur atau memisahkan diri daripada kenyataan ‘amaran 13 Mei’ Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada Presiden MCA Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan Mah Siew Keong bersetuju bahawa Malaysia berkemungkinan menghadapi senario berulangnya tragedi 13 Mei.

Kit Siang merujuk kenyataan Muhyiddin 5 Julai lalu yang menyatakan kemungkinan insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969 berulang kembali jika ketegangan kaum tidak dikawal.

“Bukankah ini bukti kecuaian dan ketidakcekapan kerajaan membiarkan negara diheret kembali ke ambang 13 Mei?” kata Kit Siang dalam kenyataannya hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut mempersoalkan Mah dan Liow yang tidak membaca kenyataan Muhyiddin mengikut konteks yang merujuk insiden 13 Mei itu serta menganggap ucapan Timbalan Perdana Menteri itu sebagai hanya suatu peringatan.

Malah kata Kit Siang, beliau hairan dengan kenyataan Mah yang nampaknya bersungguh-sungguh memperjuangkan Malaysia, namun tidak pasti sama ada mendokong 1Malaysia anjuran Datuk Seri Najib Razak atau Malaysia jenis Muhyiddin yang mengaku ‘Melayu dulu, Malaysia kemudian’.

Kata Kit Siang, masa depan Malaysia adalah di tangan mereka yang beraliran sederhana, walaupun wujud kelompok pelampau di Malaysia dalam jumlah yang kecil.

“Jangan kita lupa dalam pilihanraya umum ke-13 Mei lalu, 52 peratus pengundi menyokong Pakatan Rakyat, manakala Barisan Nasional membentuk kerajaan persekutuan dengan sokongan minoriti – kali pertama dalam sejarah.

“Mereka mengundi sama ada DAP, PKR atau PAS, beraliran sederhana yang mahukan perubahan kerajaan secara demokratik dan tidak mahu satu lagi kejadian 13 Mei,” katanya.

Namun kata Kit Siang, masih ada kumpulan kecil dengan sikap melampau yang ‘banyak mulut’, bersikap provokatif yang tak henti-henti mencipta suasana tegang, menghasut kebencian antara kaum dan agama.

Ironinya, kumpulan ini seolah-olah menikmati kekebalan dari pihak berkuasa dan sewenang-wenangnya melanggar undang-undang lain secara terbuka dengan mengeluarkan ancaman berulangnya 13 Mei.

Tegas Kit Siang, mereka yang menjabat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri tidak layak berada dalam Kabinet jika tidak bersedia memastikan bahawa tidak akan ada lagi insiden 13 Mei di negara ini.

“Adakah Kabinet esok sedia menunjukkan bahawa ia sepenuhnya komited untuk memastikan tidak akan ada lagi rusuhan 13 Mei di negara ini?” soal Kit Siang. – Roketkini.com

Tiada ulasan: