Selasa, 8 Julai 2014

MBI kaji keanggotaaan ahli lembaga pengarah anak syarikat KSSB & PNSB

Oleh :LIZAWATI MADFA


SHAH ALAM: Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) akan mengkaji dan meneliti pencapaian anak-anak syarikat di bawahnya dengan tujuan membuat penambahbaikan.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin berkata langkah itu termasuk mengkaji semula kedudukan pengerusi syarikat dan ahli –ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi di semua anak syarikat.

faekah husin 6Katanya, tumpuan khusus akan dilakukan ke atas keanggotaan ahli-ahli lembaga pengarah dan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

“Langkah ini bagi memastikan mereka yang dilantik itu terdiri daripada profesional berkelayakan serta berpengalaman yang berupaya membawa anak-anak syarikat dan MBI ke tahap yang lebih tinggi dan yang lebih penting lagi mampu membawa polisi dan aspirasi Kerajaan Negeri.

“Ia juga bertujuan memperkasa peranan dan fungsi ahli-ahli lembaga pengarah menerusi suntikan idea yang boleh merangsang perkembangan syarikat sekaligus membawa manfaat kepada negeri dan rakyat Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MBI
Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan ini juga selari dengan prinsip pentadbiran telus dan kebertanggungjawaban yang diamalkan Kerajaan Negeri sejak tahun 2008.

“MBI turut mempraktikan prinsip pentadbiran ini dan berazam untuk menjadikan semua anak syarikat di bawahnya lebih mantap, efisien dan berkeupayaan untuk bersaing dengan syarikat-syarikat swasta bagi memperoleh keuntungan untuk dikembalikan semula kepada rakyat Selangor.

“Sasaran ini akan mudah dicapai jika ahli-ahli lembaga pengarah anak-anak syarikat ini dilantik dari kalangan profesional dan berkelayakan yang mampu memberi nilai tambah kepada anak-anak syarikat yang terlibat,” katanya lagi.

Selain KSSB dan PNSB, MBI mempunyai sepuluh anak syarikat lain termasuk Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC), Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYSSB), Tourism Selangor Sdn Bhd, Rantaian Mesra Sdn Bhd, Majlis Sukan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd, Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB), Bukit Beruntung Golf & Country Resort Berhad dan Yayasan Dar Al Qard Al Hasan Selangor.

Tiada ulasan: