Isnin, 14 Julai 2014

Mayat dikerat dua dalam guni ditemui di hutan

MALAYSIAKINI


Mayat lelaki dipercayai dikerat dua dan satu bahagian disumbat di dalam sebuah guni, ditemui di kawasan hutan berhampiran kebun getah di Sungai Tamu, di Batang Kali semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Shukri Yaacob berkata mayat itu ditemui tanpa bahagian badan dari perut hingga ke kaki.
  
Katanya, mayat itu ditemui orang awam yang sedang mencari katak di kawasan tersebut kira-kira pukul 2.10 petang.
  
"Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat dan dipercayai warga asing.
  
"Kita percaya mayat dibunuh dan dikerat dua sebelum disumbat di dalam guni jerami dan dibuang di kawasan ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata tiada kesan kecederaan lain ditemui pada mayat berusia lingkungan 30-an itu.
  
"Kita temui sebilah pisau pemotong daging dan tali nylon dengan kesan terbakar kira-kira 50 meter dari tempat mayat ditemui.
  
"Bagaimanapun kita akan siasat sama ada senjata ini digunakan dalam kejadian," katanya.
  
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.- Bernama

Tiada ulasan: