Sabtu, 12 Julai 2014

Mana negara Islam, antarabangsa?


Kanak-kanak ini menjadi korban bedilan roket selepas tembakan itu tersasar ke kediamannya di bandar Gaza, awal pagi semalam. - Foto AFP Kanak-kanak ini menjadi korban bedilan roket selepas tembakan itu tersasar ke kediamannya di bandar Gaza, awal pagi semalam. - Foto AFP


SEJAK  bumi Palestin dibedil bertali arus setiap minit dalam tempoh 24 jam, ramai bertanya di manakah bantuan dan usaha negara-negara Islam untuk menghentikan kekejaman ini.

Serangan itu bukan kecil. Kabinet Israel sudah pun membuat rancangan untuk membedil lebih 750 kawasan di wilayah Gaza dengan lebih 800 roket sudah dilancarkan sejak Isnin lalu.

Sehingga semalam, media Barat melaporkan angka korban dicatatkan lebih 100 orang dengan ratusan parah namun angka itu bukanlah digit yang boleh dipercayai selagi tiada pengesahan dari pihak berkuasa Palestin. 

Persoalannya, mengapa Israel melancarkan serangan ketika ini?

Pemerhati politik berpendapat, tindakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengisytiharkan serangan mega ini pasti mempunyai alasan kukuh. Adakah disebabkan negara Islam di Timur Tengah, Eropah dan Asia ketika ini sedang lena atau mereka tidak mampu membantu kerana bimbang ancaman diplomatik?

Negara Timur Tengah

Ketika serangan mula memuncak sejak Selasa lalu, bumi Palestin dikepung Zionis dengan ketat. Serangan roket bagaikan hujan jatuh membedil kediaman dan pejabat kerajaan.

Mesir antara negara disebut untuk menjadi orang tengah menyelesaikan konflik ini. Tetapi apa yang boleh Mesir lakukan kerana negaranya sendiri mengalami pergolakan politik sejak penggulingan Presiden Mohammed Mursi.

Mereka berhadapan perang saudara antara tentera, polis dan gerakan Ikhwanul Muslimin.

Presiden Abdel Fattah Al-Sisi hanya mampu memberi janji kosong untuk sedia membantu tetapi beliau sendiri mengarahkan 19 terowong di sempadan Senai dimusnahkan kelmarin bagi mengelakkan penduduk Palestin menjadi pelarian di negaranya.

Untuk meminta bantuan dari Syria, amat tidak munasabah kerana negara itu kini sedang dalam kancah perang saudara yang makin hari makin parah hingga menyebabkan lebih jutaan maut dan menjadi pelarian.

Bantuan dari Iraq juga tidak akan diperoleh kerana negara itu kini sedang bergelut dengan pergolakan Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL). Kemunculan kerajaan Islam pimpinan Abu Bakr al-Baghdadi terus memeningkan Perdana Menteri, Nouri al-Maliki.

Selepas mengumumkan pembentukan kerajaan Islam kumpulan terbabit kini digelar militan oleh negara Barat dan kumpulan pejuang oleh beberapa negara Islam.

Ingin minta bantuan Turki? Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan sedang berhadapan dengan masalah kebangkitan rakyat atau Arab Spring untuk menggulingkan pentadbiranya. Krisis antara beliau dan Muhammed Fethullah Gülen juga masih panas. Hanya pilihan  raya nanti bakal menyelesaikan segala masalah itu.

Cuma Lebanon memberikan lampu kuning. Itu pun jika benar roket didakwa dilepaskan dari utara negara itu mendarat ke sempadan Israel, semalam adalah milik negara berkenaan.

Namun, sehingga kini belum ada pengesahan sah ianya milik Lebanon.

Eropah, AS

AS hanya menawarkan diri untuk menjadi orang tengah jika Israel dan Palestin bersetuju mahukan gencatan senjata. Namun sehingga kini beluam ada petanda kedua-duanya mahu mengalah.

Netanyahu  dalam satu kenyataan mengatakan pihaknya tidak sesekali berminat untuk melakukan gencatan senjata sebaliknya gempur berganda akan dilakukan dari setiap penjuru iaitu udara, darat dan laut.

Negara-Negara Eropah hanya mengambil langkah tunggu dan lihat. Mereka mengambil pendekatan lebih subjektif apabila tidak akan campur tangan dalam konflik terbabit dan jauh sekali untuk menawarkan bantuan ketenteraan.

Semalam, Presiden Rusia Vladimir Putin menggesa Netayahu supaya menghentikan serangan namun teguran itu tidak diendahkan.

Kini, negara Eropah seperti Sepanyol, Greece dan Perancis hanya mampu melancarkan kempen boikot produk barangan Israel bertujuan melemahkan ekonomi negara itu.

Difahamkan, Israel menjana ekomoni negaranya melalui kebergantungan pengeksportan produk makanan ke Eropah.

Asia

Indonesia menawarkan bantuan AS$1.5 juta (RM3.1 juta) buat Gaza kerana yakin negara itu amat memerlukan bantuan kewangan. Indonesia tidak boleh mencampuri konflik ini kerana negara itu masih dalam proses pengiraan undi Pilihan Raya Presiden yang berakhir Rabu
lalu. Sudah pasti, semua pemimpin lebih menumpukan peralihan politik dalaman.

Filipina dianggap tidak mampu mencampuri urusan di Gaza kerana negara itu sendiri berhadapan dengan konflik kumpulan pejuang di Selatan negara itu.

Pemburuan serpihan Abu Sayyaf masih belum berakhir, pembentukan negara autonomi Bangsamoro juga belum dimulakan, sudah pasti mereka enggan mencampuri urusan luar.

Sri Lanka pula kini berhadapan krisis etnik. Minggu lalu, umat Islam diancam bunuh oleh kumpulan pelampau Buddha menyebabkan presiden negara itu mengeluarkan amaran keras.

Bangladesh, Vietnam dan Combodia sudah pasti tidak termampu untuk membantu kerana kekuatan tentera yang terhad melainkan melalui suara di PBB.

Apa pun, jika Netanyahu mengerakkan 40,000 tentera ke Gaza tidak mustahil Intifada ke-3 akan tercetus. Adakah negara Islam akan terus berdiam diri meninggalkan Palestin berseorangan untuk berjuang? Kita hanya mampu berdoa tetapi bedilan roket terus membunuh penduduk Islam di sana.

Tiada ulasan: