Selasa, 15 Julai 2014

Lawat makam pejuang sempena sambutan merdeka

KHAIRIL ABDUL RAHIM



Md Jusoh (kanan sekali) bersama urusetia sambutan bergambar di makam pahlawan Mat Kilau.    


JERANTUT: Lawatan ke makam tokoh-tokoh pejuang tanah air seperti Mat Kilau dan Pak Sako dimasukkan sebagai salah satu agenda dalam Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2014 anjuran PAS pada 15 dan 16 Ogos ini.

Selain daripada ziarah dan tahlil ke makam dua tokoh di Pulau Tawar (di sini) dan di Buntut Pulau (Temerloh) itu, penganjur juga akan mengadakan lawatan ke Lubuk Terua di Lanchang bagi pengisahan semula sejarah pejuang kemerdekaan Datuk Bahaman.

Pengarah urusetia program peringkat negeri Pahang Md Jusoh Darus berkata, agenda tersebut dimasukkan bagi merakam semula sejarah perjuangan kemerdekaan negara dengan lebih tepat dan adil.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, dengan maklumat sejarah yang tidak disembunyikan generasi muda terutamanya diharap dapat menilai semula perjuangan menuntut kemerdekaan yang sebenarnya.

Penganjur utama  program, Lajnah Penerangan PAS Pusat telah memilih  Temerloh sebagai tapak Majlis Pelancaran Program Sambutan Bulan Kemerdekaan 2014 pada 16 Ogos ini berdasarkan sejarah tempat perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajah.

Pada 30 Ogos 2014 majlis Sambutan Malam Ambang Merdeka 2014 akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur.  Sementara majlis Sambutan Hari Malaysia 2014 dan Penutup Program Bulan Kemerdekaan 2014 di Sarawak pada 16 September.

Menurut Md Jusoh, program sambutan di Pahang akan bermula dari 15 Ogos dengan penganjuran aktiviti di dua lokasi iaitu di Pulau Tawar dan Lanchang sebelum bergerak secara berkonvoi ke destinasi tapak utama pelancaran sambutan.

“Bagaimanapun tapak utama sambutan belum dipastikan. Pihak penganjur telah memohon kebenaran untuk diadakan di Mini Stadium Temerloh dan padang awam Kubang Gajah. Alternatif lain ialah sama ada di padang awam Taman Temerloh Jaya atau laman Pusat  Komuniti Ahli Parlimen Temerloh,” katanya.

Md Jusoh berkata demikian ketika melawat makam pahlawan Mat Kilau di sini bersama beberapa pemimpin PAS negeri.

Menurutnya, pada 15 Ogos Pengerusi sambutan peringkat pusat, Tan Sri Muhammad Muhd Taib akan mengetuai program di Pulau Tawar dengan pengisian ziarah makam Mat Kilau serta pengkisahan perjuangan tokoh tersebut, tahlil perdana. jamuan rakyat dan ceramah bersama tokoh-tokoh lain.

Pada waktu yang sama Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan akan mengetuai majlis yang hampir serupa di Darul Ansar, Lanchang,

“Pada awal pagi 16 Ogos  konvoi merdeka yang disertai penunggang ARC serta pemimpin Pakatan Rakyat akan bergerak dari Pulau Tawar melalui Jengka 8, Kampung Awah dan bergerak ke tapak induk pelancaran sambutan merdeka di bandar Temerloh.

“Pada waktu yang sama konvoi dari Kampung Chempaka, Lanchang pula bergerak ke Temerloh melalui Sungai Kepong, Mentakab dan terus ke tapak Induk Pelancaran.
          
“Kita ada satu lagi konvoi berbasikal pada hari tersebut dari satu lagi lokasi bersejarah dalam perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air iaitu Kampung Lubuk Kawah, Temerloh,” jelasnya.

Md Jusoh berkata, konvoi merdeka yang datang dari tiga lokasi tersebut dijangka akan sampai ke tapak sekitar jam 10 pagi di mana di tapak tersebut tersebut akan bermula dengan persembahan kebudayaan rakyat.

Juga terdapat pameran sambutan setahun pertama Ahli Parlimen Temerloh dan tiga Adun PAS Pahang, hiburan oleh selebriti, pertandingan masakan tradisional dan mewarna oleh anjuran muslimat.

“Acara kemuncak ialah Ucapan Perasmian Pelancaran oleh Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan pelancaran logo dan tagline sambutan.

“Selepas itu akan diadakan sidang media dan diakhiri dengan jamuan Idul Fitri Rakyat PAS Pahang,” katanya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: