Pakar dari Malaysia sedang memeriksa salah satu daripada dua kotak hitam pesawat MH17 selepas diserahkan puak pemisah kepada delegasi Malaysia pada sidang media di Donestk, Ukraine, semalam. Pakar dari Malaysia sedang memeriksa salah satu daripada dua kotak hitam pesawat MH17 selepas diserahkan puak pemisah kepada delegasi Malaysia pada sidang media di Donestk, Ukraine, semalam.



KUALA LUMPUR - Pasukan penyiasat antarabangsa telah memutuskan untuk menghantar dua kotak hitam daripada pesawat MH17 Malaysia Airlines kepada Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara United Kingdom untuk analisis forensik.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ini adalah prosedur biasa bagi kotak hitam dihantar ke makmal terdekat yang ditauliahkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk dianalisis.

"Kedua-dua kotak hitam itu akan dibawa dengan kapal terbang ke Farnborough, United Kingdom, dengan diiringi oleh pakar-pakar Malaysia dan anggota pasukan penyiasat antarabangsa yang lain," kata beliau dalam kenyataan tiga perenggan di sini hari ini.

Pasukan Penyiasat Antarabangsa diketuai oleh Belanda.

Tiong Lai berkata, keputusan ini adalah susulan persetujuan yang dicapai antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan ketua pemisah pro Rusia di kawasan itu, Alexander Borodai.

"Susulan persetujuan antara Perdana Menteri dan ketua pemberontak (timur Ukraine), Malaysia memperoleh hak terhadap kedua-dua kotak hitam MH17 itu.

Seperti disebutkan Perdana Menteri, kotak hitam itu kemudian akan diserah kepada pasukan penyiasat antarabangsa untuk analisis," kata beliau.

Pada Isnin, Malaysia memperoleh persetujuan bagi membawa keluar mayat penumpang dan kotak hitam penerbangan MH17 dan juga bagi para penyiasat antarabangsa mendapat laluan selamat ke tapak nahas di timur Ukraine.

Puak pemisah pro Rusia di timur Ukraine dilaporkan telah menyerahkan kedua-dua kotak hitam itu yang dijumpai di tapak nahas kepada pasukan penyiasat Malaysia pada Selasa.

Pesawat Malaysia Airline Penerbangan MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 krew, sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, di timur Ukraine Khamis lalu, dipercayai ditembak menggunakan peluru berpandu dari darat ke udara. - Bernama