Khalid sedia jumpa Sultan


SHAH ALAM – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memperjelas maksud saranannya yang mahu kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dikurangkan atas alasan melindungi imej Sultan daripada terus dikritik rakyat.

Tegas Khalid, kenyataan cadangannya untuk memansuhkan kuasa eksekutif Mais tidak bermakna menolak kedudukan Sultan sebagai ketua agama Selangor kerana kuasa eksekutif adalah kuasa pelaksanaan.

“Sekiranya kenyataan itu mendatangkan kemurkaan Sultan lebih baik saya temui baginda untuk jelaskan maksud sebenar.

“Kemurkaan baginda mungkin disebabkan tidak faham cadangan saya. Bukanlah niat saya untuk jatuhkan Tuanku Sultan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, cadangannya itu untuk membolehkan Mais bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana pihak.

“Saya hanya beri cadangan secara terbuka untuk bincang dan kaji kesan sekiranya Mais berdiri sendiri tanpa bayangan Sultan.

“Kerana kerajaan negeri tidak berfungsi dalam gerak kerja Mais dan juga Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyebabkan arahan bercanggah, tidak sehaluan,” katanya.

Sebelum ini, beberapa rakan dan kenalan hadir bertemu beliau meminta penjelasan berkaitan kenyataannya yang meminta kerajaan negeri mengkaji semula pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2012 yang menyentuh berkenaan pelantikan anggota Mais oleh Sultan selepas mendapat nasihat menteri besar.

Katanya, pindaan itu perlu supaya sealiran dan tidak lagi berlaku pertembungan antara institusi Sultan dan rakyat.

Kelmarin, Sultan Selangor murka dan menyifatkan Khalid sebagai biadab kerana mendesak supaya Mais tidak lagi diberi kuasa dalam menjaga kedaulatan agama Islam negeri itu.

Baginda bertitah supaya Khalid yang bukan berasal dari Selangor memahami sejarah negeri dan mendalami undang-undang yang terpakai di Selangor terlebih dahulu terutama Undang-undang Tubuh Kerajaan dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.

17 Jun lalu, Khalid dalam sidang media di Dewan Parlimen mengeluarkan cadangan agar kuasa eksekutif Mais dikurangkan berikutan isu pemulangan Bible yang dirampas pada Januari lalu daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM).

Peguam Negara sebelum itu memutuskan tiada tindakan perundangan dikenakan ke atas BSM dan mengarahkan kitab berkenaan dipulangkan tetapi Mais tampil dengan kenyataan tidak bersetuju dengan keputusan itu.