Rabu, 9 Julai 2014

Khalid dakwa 'keputusan 15 Januari' tidak wujud

Oleh Nur Shakira Buang

 
Post Pic



SUBANG JAYA: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim beranggapan keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR pada 15 Januari lalu, untuk menggugurkan beliau daripada jawatan Menteri Besar Selangor tidak wujud sementelah Setiausaha Agung parti itu sendiri menafikannya.

Ujarnya, Datuk Saifuddin Nasution sendiri menafikan keputusan seumpama itu malah penafian tersebut turut dilaporkan kebanyakan media tempatan termasuk portal berita.  
 
Justeru Khalid berkata tiada keperluan untuk dirinya mengulas lebih lanjut mengeni khabar angin itu.
 
"Saya tidak merasakan apa-apa keputusan sebab keputusan (15 Januari) itu telah dinafikan oleh Setiausaha Agung PKR dan kenyataan-kenyataan itu telah dinyatakan dalam akhbar pada tarikh-tarikh yang sebegitu.
 
"Oleh sebab itu saya tidak perlu membuat apa-apa komen tentang perkara itu," katanya ketika ditemui Antarapos selepas Majlis berbuka puasa Menteri Besar bersama Media disini, malam tadi.
 
Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie pada Selasa berkata Khalid tetap akan digugurkan daripada jawatannya seperti ketetapan yang dicapai pada mesyuarat parti, 15 Januari lalu.
 
Terdahulu Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani menyatakan perkara yang sama dan menyifatkan Khalid mungkin 'terlupa' akan keputusan yang sudah dicaai itu.
 
Ujarnya, ketika mesyuarat itu berlangsung, Khalid gagal hadirkan diri walaupun ia diadakan khusus untuk membincangkan masalah kepimpinan beliau.
 
Abdullah kemudiannya meminta Khalid merujuk minit mesyuarat pada tarikh tersebut sebelum membuat sebarang penafian berhubung keputusan itu.
 
Gerakan untuk menjatuhkan Khalid bermula setelah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu dilihat gagal menangani isu-isu sensitif yang timbul di Selangor.
 
Antaranya isu pengambilalihan industri air di Selangor, rampasan Bible versi Melayu oleh Jabatan Agama Islam (JAIS) dan cadangan pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) dan banyak lagi.

Tiada ulasan: