Selasa, 15 Julai 2014

Kenapa marah dengan istilah 'awek cun'?

MALAYSIAKINI


 


Kenapa marah dengan istilah 'awek cun'?

Itu adalah soalan pertama yang saya fikirkan apabila terbaca tentang tindakan RoketKini menarik kembali penggunaan istilah itu dalam rencana mereka.

Ia pada asalnya digunakan untuk menggambarkan seorang anggota baru DAP yang merupakan perempuan Melayu bertudung berusia 25 tahun, berkulit cerah tanpa cela serta bermata bundar.

Saya bertanyakan soalan itu kerana istilah 'awek cun' adalah percakapan harian yang membawa maksud 'perempuan cantik' - dan anggota DAP itu sememangnya cantik.

'Awek cun' kemudiannya diganti kepada 'wanita muda' atas alasan ia satu slanga yang "menimbulkan rasa kurang senang beberapa pihak".

Secara tersiratnya, "rasa kurang senang" itu adalah 'serangan' kepada salah satu ciri universal wanita iaitu memiliki kemahiran untuk menjadi cantik.

Kecantikan itu sendiri adalah satu bentuk kebijaksanaan.

Cantik perlu kepintaran

Walaupun pada luarannya kelihatan mudah, usaha untuk menjadi cantik sebenarnya memerlukan kepintaran, kerja keras dan pemerhatian yang tajam, serta bergerak seiring dengan zaman.

Menjadi cantik memerlukan kepintaran kerana lihatlah di sekeliling kita, bukan semua wanita yang kita kenali bijak merias wajah untuk menyerlahkan kecantikan semula jadi wajah mereka.

Tanpa kerja keras dan pemerhatian yang tajam, mustahil seorang wanita akan mampu memilih serta mengenakan pakaian yang anggun dan menawan serta memukau pandangan mereka yang melihatnya.

Bergerak seiring dengan zaman pula memerlukan seorang wanita itu tahu gaya terkini yang hangat di pasaran dan tidak menggayakan dirinya pada tahun 2014 dengan trend yang popular pada tahun 60-an.

Justeru, memperkecilkan usaha-usaha yang dilakukan oleh seorang wanita untuk menjadi cantik itu sendiri adalah satu penghinaan kepada kebijaksanaan wanita.

Sememangnya, wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan namun, dalam arena politik apabila kecantikan wanita itu diserlahkan, ia menjadi satu masalah.

Dalam reaksi susulan kepada rencana itu, Michelle Yesudas dari Lawyers of Liberty dilapor menyifatkan penyerlahan kecantikan seorang wanita dalam politik sebagai "kuno, bukan satu aspirasi politik dan satu bentuk objektifikasi wanita."

Kualiti kuno malar segar

Kecantikan adalah kualiti yang tidak pernah kuno malah ia malar segar dan tidak lekang dek zaman.

Seorang wanita boleh sahaja memilih untuk tampil dan kekal cantik tanpa mengira usianya.

Malangnya, kecantikan wanita tidak akan pernah menjadi aspirasi politik kerana ahli politik tahu bicara tentang perkara itu akan menyerang fikrah wanita-wanita yang malas berusaha untuk menjadi lebih cantik - dan ia bermakna kurang undi buat mereka.

Dakwaan meraikan kecantikan wanita sebagai 'objektifikasi wanita' juga tidak tepat.

Ini kerana kita meraikan kecantikan anggota baru DAP itu yang bersifat peribadi dan unik - beliau tetap nampak cun dan cantik walaupun memilih untuk bertudung tanpa mempamerkan mahkota wanitanya iaitu rambut beliau.

Justeru, raikanlah kebijaksanaan dan ketinggian martabat wanita dengan meraikan kecantikan mereka.



AHMAD FADLI KC atau nama lainnya Teruna Wangi masih menunggu restu ibunya untuk keluar mencuba nasib untuk bertemu janji dengan pelakon cun Lana Nordin.

Tiada ulasan: