Jumaat, 11 Julai 2014

J'kuasa S'gor siasat projek lebuh raya Skip, Kidex

MALAYSIAKINI


Satu jawatankuasa khas kerajaan Selangor memulakan siasatan ke atas dakwaan bahawa dua projek lebuh raya kontroversi dimasukkan ke dalam pelan tempatan Majlis Perbandaran Subang Jaya dengan tidak mengikut proses sewajarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Terpilih Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata siasatan itu melibatkan Lebuh raya Serdang-Kinrara-Putrajaya (Skip) dan Lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex).

Selain itu, siasatan juga melibatkan dakwaan bahawa pengezonan kawasan di USJ10 dan USJ7 dipinda tanpa mengikut prosedur sewajarnya.

Beliau menjangka laporan siasatan tersebut akan dapat dikemukakan ketika DUN Selangor bersidang pada November.

"Kami akan bermula dengan melihat kepada pelan tempatan MPSJ, dan kemudiannya menangani adauan yang diterima daripada wakil rakyat dan orang awam,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Antara yang sudah dipanggil untuk memberi keterangan dalam pendengaran tersebut hari ini adalah Exco kerajaan tempatan Teng Chang Khim dan juga Exco perumahan, Iskandar Abdul Samad.

Turut memberi keterangan ialah wakil dari MPSJ dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor.

Enam orang anggota jawatankuasa yang hadir dalam pendengaran itu ialah enam orang ADUN – Khasim Abdul Aziz (Lembah Jaya), Dr Idris Ahmad (Ijok), Hasnul Baharuddin (Morib), Halimaton Saadiah Bohan (Kota Damansara), Rajiv Rishyakaran (Bukit Gasing) dan Eddie Ng (Balakong).

Nik Nazmi berkata, jawatankuasa itu akan mengadakan sekurang duanya satu atau dua sesi pendengaran lagi sebelum membuat keputusan.

Jawatankuasa itu bagaimanapun masih belum memutuskan nama individu yang akan dipanggil untuk memberi keterangan lanjut.

Beliau juga enggan membincangkan hasil siasatan setakat ini dan menegaskan ia hanya akan didedahkan apabila laporan itu dikemukakan ke DUN.

Tiada ulasan: