Jumaat, 4 Julai 2014

JK Hudud: Kelantan serah 12 nama kepada menteri

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kelantan menetapkan 12 nama calon mewakili negeri itu bagi menganggotai Jawatankuasa Teknikal Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) di peringkat persekutuan.

Perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat kedua jawatankuasa teknikal di Kompleks Kota Darul Naim semalam.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Muhammad yang terlibat sejak awal penggubalan undang-undang tersebut akan mengetuai delegasi itu.

"Kita telah menetapkan 12 nama calon yang akan mewakili Kelantan, ia akan diserahkan kepada menteri.

"Selain itu jawatankuasa juga bersetuju untuk mengadakan kunjungan hormat secara rasmi kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam waktu terdekat ini," jelas beliau dipetik Sinar Harian.

Beliau turut memaklumkan, satu sekretariat turut dibentuk di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam yang dipengerusikan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan dan dibantu Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Datuk Hassan Mahmood serta Adun Melor, Dr Md Yusnan Yusof.

Selain tiga jawatankuasa kecil ditubuhkan untuk mengawal dan menyusun perlaksanaannya.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal tersebut turut memaklumkan mesyuarat semalam berjalan lancar kecuali Tun Salleh Abas dan Profesor Aziz Bari tidak dapat hadir. -

Tiada ulasan: