Rabu, 30 Julai 2014

Jakim tidak lantik pihak ketiga untuk pensijilan halal

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) tidak pernah melantik pihak ketiga untuk menjalankan aktiviti pensijilan halal serta konsultasi pensijilan halal.
 
Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff berkata sebarang permohonan sijil halal sama ada untuk produk termasuk premis perniagaan mesti dibuat oleh peniaga sendiri dan hanya Jakim layak mengeluarkan sijil itu. 
 
"Kita dapati ada pihak yang mendekati peniaga atau syarikat dan mengaku sebagai pihak ketiga yang dilantik Jakim atau Jain, dan ini tidak betul.
 
"Perlu diingat setiap pemohon bagi sijil halal mesti datang sendiri ke pejabat Jakim atau Jain. Jangan percaya pihak ketiga yang mungkin menipu termasuk dari segi bayaran permohanan," katanya kepada Bernama.
 
Jelasnya pihak tidak bertanggungjawab itu antara lain memperdaya peniaga dan syarikat dengan menyatakan kononnya bayaran permohonan sijil halal Jakim atau Jain mahal berbanding kadar yang dikenakan mereka.
 
Tambah Hakimah bayaran yang dikenakan ialah RM200 bagi industri kecil, RM800 bagi perusahaan kecil dan sederhana, dan RM1,400 bagi syarikat multinasional.
 
Bayaran RM200 pula dikenakan bagi permohonan dari premis makanan atau restoran.
 
"Ini tidak mahal sebab pemohon boleh kemukakan seberapa banyak produk yang mereka mahu pengesahan halal dalam setiap permohonan," katanya.
 
Bagaimanapun, Hakimah berkata sijil halal yang dikeluarkan adalah sah untuk tempoh dua tahun dan tiada pemulangan bayaran dibuat kepada mana-mana peniaga atau syarikat yang gagal dalam permohonan mereka.
 
Dalam pada itu, katanya lagi adalah menjadi satu kesalahan untuk peniaga atau syarikat membuat iklan memaklumkan mereka sedang dalam proses memohon pensijilan halal Malaysia.
 
Tindakan itu salah mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) kerana ia mengelirukan pengguna.
 
Kes seumpama itu akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk siasatan serta tindakan memandangkan Akta 730 terletak di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.
 
Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad berkata individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, manakala penalti untuk pertubuhan dan perbadanan ialah denda sehingga RM250,000.
 
Belum ada mana-mana individu atau syarikat setakat ini dikenakan tindakan berhubung iklan seperti itu, katanya sambil menambah pihaknya menerima kira-kira12,000 aduan berkaitan salah laku iklan setiap tahun. 

Tiada ulasan: